PETALING JAYA: 63 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di rantau Asia Pasifik menjangkakan kemelesetan ekonomi dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Bagaimanapun kaji selidik yang dijalankan KPMG International itu mendedahkan lebih separuh atau 55 peratus daripada jumlah berkenaan menjangkakan kemelesetan tersebut bersifat sederhana dan singkat, manakala 58 peratus pula telah mengambil langkah awal untuk mendepani ketidaktentuan akan datang
Menurutnya lagi, kaji selidik tersebut turut mendedahkan 73 peratus CEO yakin dengan daya tahan syarikat mereka berhadapan dengan cabaran enam bulan akan datang dengan tahap keyakinan sama 71 peratus terhadap daya tahan negara masing-masing.
“Bertindak balas dengan jangkaan tersebut dalam tempoh enam bulan akan datang, 44 peratus CEO merancang untuk membekukan pengambilan pekerja, 43 peratus menguruskan kos dengan menaikkan harga dan 40 peratus mengurangkan margin keuntungan.
“Lebih membimbangkan, 29 peratus CEO di rantau Asia Pasifik dilapor akan memberhentikan sementara atau mempertimbangkan semula usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), manakala 47 peratus bercadang melakukannya dalam beberapa bulan lagi,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Rakan Kongsi Urusan KPMG, Datuk Johan Idris menyifatkan pemerhatian berkenaan merupakan pendekatan berisiko.
Katanya, ketika kerajaan Malaysia dan seluruh dunia bergelut dengan kenaikan inflasi yang tinggi dengan kenaikan kadar faedah lebih besar terdapat kebimbangan mengenai krisis kecairan global.
“Ini bermakna syarikat akan berdepan kesukaran untuk membiayai semula hutang kerana bank menjangkakan kemelesetan serta menjadi lebih berhati-hati dalam pemberian pinjaman.
“Ketika kecairan menjadi lebih ketat dan kemelesetan menjadi lebih nyata, pemain industri yang tidak lagi mendapat tempat dengan bank disebabkan keutamaan ESG mereka mungkin mendapati sebarang bentuk pembiayaan baharu agak sukar dan mencetuskan isu modal yang memerlukan perancangan rapi.
“Selain itu, apabila kecairan semakin ketat dan kemelesetan menjadi lebih pasti, industri yang sudah tidak disukai oleh bank disebabkan keutamaan ESG mereka, mungkin mendapati sebarang bentuk pembiayaan baharu sukar, sekali gus mencetuskan isu modal yang memerlukan perancangan rapi.”
“Dalam konteks ini, CEO-CEO harus memikirkan sejauh mana mereka mampu mengemudi perbincangan bersama penyedia pinjaman masing-masing berkenaan pembiayaan jangka pendek dan kaedah menangani harga lebih tinggi,” katanya.
Tambahnya terdapat juga kemungkinan bahawa CEO mungkin perlu mencari sumber modal alternatif untuk meningkatkan peluang mendapat pembiayaan.
Tinjauan KPMG juga mendapati 45 peratus CEO merancang untuk merancang untuk mempelbagaikan rantaian bekalan masing-masing, manakala 40 peratus menyasar untuk memindahkan operasi luar negara ke dalam negara atau secara dalaman bagi berdepan kemelesetan. – UTUSAN











