PETALING JAYA: Stok minyak sawit negara meningkat ke paras tertinggi dalam 33 bulan pada hujung Ogos lalu berikutan permulaan musim puncak pengeluaran, menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Inventori meningkat 18.16 peratus daripada bulan sebelumnya kepada 2.09 juta tan, mencecah paras tertinggi sejak November 2019.
Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut, berkembang 9.67 peratus dari Julai kepada 1.73 juta tan namun eksport turun 1.94 peratus kepada 1.3 juta tan.
Penghantaran luar negara akan kekal teguh melebihi 1.3 juta tan metrik pada September dan Oktober kerana harga sawit yang lemah menarik minat lebih besar dari India, kata Paramalingam Supramaniam, pengarah di broker Pelindung Bestari di Selangor.
Menurut kenyataan Ketua Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Joseph Tek minggu lalu, kebimbangan kekal terhadap permintaan untuk MSM Malaysia apabila negara jiran Indonesia menyemak semula cukai dan meningkatkan jumlah yang boleh dieksport untuk membersihkan inventorinya.
“Ia berpotensi membebankan harga penanda aras MSM dan menyebabkan persaingan yang sengit,” katanya.
MPOA telah memberi amaran ketidaktentuan cuaca dan fenomena cuaca La Nina lebih besar yang pertama abad ini akan melanda pengeluaran dalam beberapa bulan akan datang.
La Nina diramalkan berterusan sehingga akhir tahun ini, dengan hujan lebat dan banjir yang memberi impak kepada ladang.
Ditambah lagi dengan masalah kekurangan buruh, pengeluaran sawit negara diramalkan menurun untuk tahun ketiga, atau paling baik kekal tidak berubah daripada 18.8 juta tan tahun lepas. – UTUSAN











