Ringgit mungkin cecah RM4.7 berbanding dolar minggu depan

Ringgit mungkin cecah RM4.7 berbanding dolar minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai ringgit mungkin boleh menyusut sehingga ke paras RM4.7 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan jika masih tiada intervensi daripada Bank Negara Malaysia (BNM), kata penganalisis ekonomi.

Ringgit ditutup lebih baik berbanding dolar AS pada Jumaat pada 4.6320/4.6360 daripada 4.6450/4.6500  yang dicatatkan pada Khamis.

Sementara itu, Bursa Malaysia pula terus menyusut yang mana indeks petunjuk pasaran ditutup di bawah 1,400 mata pada Jumaat.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.87 mata kepada 1,394.63 mata berbanding 1,397.50 pada penutupan urus niaga Khamis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi yang juga Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, antara penyebab mata wang negara terus lemah adalah aliran keluar ringgit ke luar negara.

Katanya, ini melalui penghantaran ringgit ke negara luar negara melalui pekerja-pekerja asing.

“Jika kita lihat pada rupiah Indonesia, walaupun mata wang mereka menurun tetapi bank pusat negara itu telah mengambil langkah untuk mengawalnya.

“Apa yang Malaysia boleh lakukan adalah dengan menyekat pengeluaran ringgit ke luar negara. Apabila kita mengambil pekerja asing, wang tersebut akan dihantar pulang ke negara mereka dan sekali gus memberi kesan pada ringgit.

“Intervensi diperlukan oleh BNM untuk membeli semula ringgit daripada bank pusat mereka untuk memastikan ringgit tidak terus jatuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau memberitahu, penyusutan ringgit secara tidak langsung memberi kesan kepada dagangan di Bursa Malaysia.

“Kita tengok pasaran saham ada dua iaitu pelabur dalam dan luar negara. Penyusutan ringgit sepatutnya akan menarik pelabur luar yang menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS). Namun perkara itu tidak berlaku.

“Ini mungkin disebabkan oleh faktor-faktor yang lain seperti persekitaran politik yang tidak begitu stabil, pergelutan kuasa dan juga ura-ura Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Perkara-perkara ini memainkan peranan dalam ekonomi dan kerajaan perlu mengambil tindakan segera,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN