PETALING JAYA: Proton membuka pusat pengedaran ke-149 di Kota Bharu, Harima Auto Mobil 4S (Harima), sekali gus menjadi pengedar terbesar di Kelantan dan Terengganu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, pembukaan Harima akan membantu meningkatkan reputasi jenama Proton di Kota Bharu.
“Dengan memiliki rangkaian penuh kemudahan dan aset yang diperlukan untuk melayani jumlah pelanggan yang tinggi, kami berharap dapat meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan dan memberikan pengalaman yang benar-benar premium bagi pelanggan di negeri ini,” katanya semasa merasmikan pusat pengedar berkenaan, kelmarin.
Sementara itu, Pengasas Harima, Liew Foo Lin berkata, sebagai pengedar automotif berpengalaman dengan hubungan perniagaan tempatan yang kukuh, Harima juga menyedari keperluan untuk menyediakan perkhidmatan yang melangkaui jangkaan pelanggan memandangkan persaingan yang kuat daripada jenama lain di Kota Bharu.
“Apa yang paling penting ialah pelanggan gembira mengunjungi pengedar untuk membeli kereta baharu. Sebaik sahaja mereka telah membelinya, adalah tanggungjawab kami untuk memastikan mereka menghantar semula kereta mereka kepada kami untuk servis berkala.
“Bagaimanapun, Harima merasakan tahap kepuasan pelanggan yang diperlukan tidak dapat dicapai jika kami terus beroperasi sebagai bilik pameran kecil tanpa kemudahan yang diperlukan, justeru, keputusan untuk beroperasi sebagai pengedar 4S,” katanya.
Terletak di Tunjong, Harima mempunyai keluasan binaan 2400 meter persegi dengan 11 ruang servis, dan bilangan ruangan ketuk dan cat yang sama.
Bilik pameran pula boleh mempamerkan 10 kenderaan. Seperti pengedar 4S yang lain, terdapat kawasan permainan kanak-kanak, WiFi percuma dan ruang istirahat pelanggan yang selesa. – UTUSAN










