PETALING JAYA: Perodua akan memulakan kajian kenderaan elektrik pertamanya serta mobiliti jangka panjang melalui kajian pasaran perkhidmatan melibatkan 300 pelanggan bagi model terhad, Ativa Hybrid.
Menurut Perodua, kajian terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertama untuk memahami tingkah laku pemanduan berkumpulan kenderaan hibrid di lokasi berpenduduk di negara ini iaitu Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Katanya, tujuan lain untuk memahami penerimaan para pengguna terhadap perkhidmatan `langganan’ lima tahun, yang ditawarkan oleh Perodua kepada pelanggan korporat di bawah `EZ MOBi.’
Majlis Langganan Perodua Ativa Hybrid dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Lokman Hakim Ali; Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Pengerusi Daihatsu, Sunao Matsubayashi.
“Perodua Ativa Hybrid menggunakan sistem `hibrid bersiri’ di mana set motor elektrik menggerakkan roda kenderaan manakala enjin bertindak sebagai penjana kuasa untuk mengecas bateri. Model ini menggunakan enjin 1.2L (WA-VEX) untuk menjana kuasa tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Dengan teknologi ini, Sistem Bersiri Perodua Ativa Hybrid mampu mencapai jarak sejauh 31.3 kilometer seliter (berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia)
Sementara itu, Presien dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, Ativa Hybrid adalah kenderaan terbaik untuk Perodua mendapatkan pandangan unik tingkah laku rakyat Malaysia sebagai kumpulan terkawal, kerana data itu akan
digunakan untuk mengenalpasti keperluan para pelanggan apabila menggunakan kenderaan elektrik.
Beliau berkata, program perintis oleh Perodua juga akan membolehkan syarikat kereta kompak itu melihat tahap penerimaan para pelanggan terhadap program langganan jangka panjang sebagai alternatif kepada pembelian dan penjualan traditional kereta.
“Walaupun kami percaya bahawa pemilikan kenderaan masih lagi menjadi perniagaan utama kami namun, ada kemungkinan perniagaan langganan kenderaan ini diterima oleh lebih ramai pengguna dalam masa terdekat.
“Inilah yang kami maksudkan dengan ‘langganan’ – satu perkhidmatan yang mana semua kewajipan lain untuk memiliki kenderaan seperti mengikuti jadual penyelenggaraan, membayar insurans kenderaan dan cukai jalan – semua akan diuruskan sepenuhnya oleh kami; Apa yang pelanggan perlu lakukan ialah membayar yuran langganan untuk menikmati pakej tersebut,” katanya. – UTUSAN










