
TAHUN 2023 bakal mencatatkan dua peristiwa penting dalam industri kewangan Islam Malaysia. Tabung Haji (TH) akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-60, manakala Bank Islam pula akan memasuki tahun ke-40 pengoperasiannya.
Kedua-dua institusi ini masih terus memenuhi mandat penubuhannya, malah telah terus ditambah baik dan mencapai kejayaan berterusan.
Sebagai contoh, TH baru-baru ini mengumumkan keputusan pencapaiannya bagi separuh tahun 2022 yang telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.47 bilion. Jumlah simpanannya juga telah meningkat kepada RM88.09 bilion, tertinggi sejak 59 tahun penubuhannya.
Bank Islam pula, walaupun terkesan akibat wabak Covid-19, masih berupaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM534.31 juta bagi tahun 2021. Prestasi kedua-dua institusi ini, membuktikan kemampanan kerangka institusi kewangan Islam yang diilhamkan dan dilaksanakan di Malaysia.
Dalam memenuhi mandatnya, walaupun adalah satu keharusan untuk kedua-dua institusi ini menjana keuntungan dan mencapai tujuan komersialnya, namun prestasinya tidak harus diukur dari sudut tersebut semata-mata. Ini adalah kerana selain dari memastikan segenap lapisan operasinya patuh syariah, ianya juga harus menzahirkan, secara langsung, pelaksanaan prinsip-prinsip maqasid Syariah.
Di bawah Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 Bank Negara Malaysia (PTSK-BNM) dan Pelan Induk Pasaran Modal 2022-2026 Suruhanjaya Sekuriti (PIPM-SC), terdapat penekanan khusus pada pembangunan sektor kewangan Islam dan sektor pasaran modal Islam. Walaupun, pelan-pelan tersebut disediakan oleh dua badan pengawal selia yang berbeza, tetapi masing-masing menekankan pentingnya untuk peserta-peserta industri kewangan Islam negara menerapkan dengan lebih luas nilai-nilai maqasid syariah di dalam modal perniagaan dan pengoperasiannya.
PIPM-SC mengariskan Maqasid Shariah, antara lain, sebagai intipati pembangunan ekonomi yang mampan (sustainable economic development). Manakala PTSK-BNM pula mengariskan pelaksanaan prakarsa pengantaraan berdasarkan nilai atau value-based intermediation (VBI), yang berlandaskan prinsip-prinsip maqasid syariah, sebagai teras utama bagi industri kewangan Islam.
Melalui pelan-pelan ini, boleh dirumuskan bahawa amanah perlu digalas oleh pemain industri kewangan Islam, termasuk pengendali Takaful, untuk menjadi tunggak utama dalam menerajui usaha penerapan nilai-nilai maqasid syariah dengan lebih menyeluruh oleh institusi-institutsi mereka. Seperkara yang harus diambil kira adalah, dalam melaksanakan usaha ini, pemain industri terutama di peringkat kepimpinannya, perlu mengambil pendekatan pembangunan industri dan tidak terbatas kepada institusi masing-masing sahaja. Satu peluang yang terbit dari pelan-pelan ini adalah ruang untuk pemegang taruh industri bekerjasama bagi mewujudkan satu rangka perniagaan kewangan Islam terkehadapan yang dapat menzahirkan prinsip-prinsip maqasid syariah dengan lebih utuh.
Jika dikaji sejarah pembangunan industri kewangan Islam di Malaysia, idea penubuhan TH telah dicetuskan melalui kertas kerja bertajuk “Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-Bakal Haji” yang ditulis oleh Profesor Diraja Ungku Aziz pada 1959. Pada 1981, Jawatankuasa Pemandu Penubuhan Bank Islam telah diwujudkan dan dianggotai oleh ramai kepimpinan kewangan dan kerajaan termasuk Tan Sri Azman Hashim. Hasil laporan jawatankuasa tersebut telah menjadi asas penubuhan Bank Islam.
Seterusnya, cadangan rangka kerja ‘Sadaqa House’, yang kini ditubuhkan oleh Bank Islam, telah dikemukakan oleh Datuk Dr. Abdul Halim Ismail, mantan Pengarah Urusan pertama Bank Islam pada 2014.
Kini, masanya sudah tiba untuk kepimpinan industri kewangan Islam yang sedia ada untuk mengikut jejak langkah dan mencipta sejarah dengan mencontohi kepimpinan terdahulu dalam usaha menambah baik industri kewangan Islam terutamanya dalam penerapan pengamalan prinsip-prinsip maqasid syariah. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM – UTUSAN










