PETALING JAYA: Pasaran ekonomi halal global dijangka mencecah AS$4.96 trilion (RM22.34 trilion) menjelang 2030 berbanding AS$2.3 trilion (RM10.28 trilion) pada 2020, menurut firma penyelidikan dan perundingan, Frost & Sullivan.
Firma itu berkata, ekonomi halal sedang mengalami trend menaik, berikutan peningkatan permintaan terhadap produk halal daripada orang Islam dan negara bukan Islam.
Katanya, faktor utama yang memacu pertumbuhan industri halal ialah demografi penduduk yang menggalakkan, dasar kerajaan dan inisiatif sektor swasta.
“Permintaan bukan Islam yang semakin meningkat untuk makanan halal didorong oleh kaitannya dengan pemakanan yang selamat dan sihat, manakala fesyen dan pelancongan halal juga terus mendapat penerimaan yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna bukan Islam yang lebih konservatif,” katanya dalam laporan kelmarin.
Sementara itu, ahli ekonomi kanan Frost & Sullivan, Neha Anna Thomas berkata, tahap perdagangan halal dan kewangan Islam yang lebih tinggi berpotensi mempercepatkan pembangunan infrastruktur, menjadikan ekonomi halal lebih bersedia bersepadu dengan perdagangan dan rantaian bekalan global.
“Kerajaan juga memperkukuh kawal selia dan sokongan dasar melalui pelan induk nasional serta pengembangan skop pensijilan, yang akan meningkatkan pertumbuhan industri halal,” katanya.
Tambah beliau, ketelusan dan kebolehkesanan di sepanjang rantaian nilai produk halal adalah penting.
“Disebabkan itu, kerajaan harus menggalakkan penggunaan teknologi termaju, seperti blockchain dan internet kebendaan (IoT), apabila membangunkan pelan induk ekonomi halal, manakala perniagaan boleh bekerjasama dengan syarikat teknologi permulaan,” katanya. – UTUSAN










