PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan sekali lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada Mesyuarat Dasar Monetari (MPC) terakhir pada November ini.
MIDF Research berkata, pihaknya melihat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kelmarin adalah tepat pada masanya dengan pengembangan berterusan ekonomi domestik seperti yang dicerminkan dalam data makroekonomi dan arah aliran inflasi teras.
“Tumpuan semasa penetapan dasar monetari BNM adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan dan mengawal inflasi yang dijangka memuncak pada suku ketiga tahun ini.
“Dengan trend inflasi teras yang semakin meningkat dan permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan, kami menjangkakan penormalan dasar selanjutnya mungkin akan dilaksanakan pada November ini,” katanya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, keputusan itu akan tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan peningkatan selanjutnya.
“Ia akan disesuaikan dengan keadaan makroekonomi, terutamanya pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan permintaan domestik yang semakin meningkat.
“Dari segi perspektif, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan peningkatan dalam kadar hutang isi rumah,” ujarnya.
Sementara itu, penganalisis mengekalkan pandangan overweight terhadap sektor perbankan berikutan kenaikan OPR yang akan terus memberi kelebihan kepada sektor tersebut.
Penganalisis CSG-CIMB Research, Winson Ng berkata, unjuran pertumbuhan pembiayaan yang disasarkannya antara 5.0 hingga 6.0 peratus tahun ini (antara pertumbuhan organik paling kukuh sejak 2016) mampu dicapai meskipun OPR setakat ini sudah dinaikkan 75 mata asas.
“Secara teori, kenaikan OPR akan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan pinjaman bank kerana itu akan meningkatkan bayaran balik pinjaman bulanan untuk peminjam dan seterusnya mengurangkan kemampuan untuk membuat pinjaman.
“Tetapi, pandangan kami adalah berdasarkan pertumbuhan pinjaman yang kukuh sebanyak 5.0 peratus tahun ke tahun pada akhir Julai 2022 dan pengembangan pantas hampir 80 peratus tahun ke tahun untuk kedua-dua permohonan pinjaman dan kelulusan bagi tempoh itu,” katanya.
Kelmarin, BNM memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus dalam Mesyuarat Jawatankuasa Monetari (MPC).
Kenaikan kali ketiga secara berturut-turut itu daripada paras terendah 1.75 peratus menyaksikan kadar tertinggi dan terendah koridor OPR juga meningkat masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus. – UTUSAN