PETALING JAYA: MR D.I.Y Group (M) Berhad, peruncit barangan kelengkapan rumah terbesar negara membuka permohonan untuk mengisi lebih 1,700 kekosongan jawatan di seluruh negara.
Bagi memudahkan pemohon, syarikat itu akan mengadakan kempen pengambilan pekerja di MR DIY PLUS, Mid Valley Megamall bermula pada 9 hingga 11 September dari pukul 11 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Peruncit tersebut kini mencari calon-calon untuk memenuhi kekosongan pelbagai jawatan, daripada pengurusan kanan dan tengah sebagai eksekutif dan pegawai di ibu pejabatnya di Seri Kembangan, dekat sini hingga penyelia, pembantu penyelia, juruwang, promoter dan pembantu kedai di cawangan-cawangan MR D.I.Y, MR. DOLLAR dan MR. TOY di seluruh negara.
MR D.I.Y juga menerima permohonan bagi Program Perantis Pengurusan (MAP) dan Program Perantis Penyelia (SAP) untuk para lepasan universiti.
Kumpulan itu berkata, MR D.I.Y telah berkembang sejak pembukaan cawangan pertamanya pada 2005.
“Kini, kami mempunyai lebih 13,000 kakitangan untuk membantu kami memenuhi visi Always Low Prices kepada para pelanggan di lebih 1,000 cawangan kami di seluruh negara dan 180 cawangan lagi yang dijangka dibuka pada tahun ini.
“Program pengambilan pekerja ini akan membantu kami memastikan janji ini akan sentiasa dapat dipenuhi dan pada masa yang sama, menawarkan pendapatan yang stabil dan mampan, dan pelbagai peluang pekerjaan kepada bakat-bakat di seluruh Malaysia.
“Kami merupakan majikan yang menawarkan peluang sama rata dan mengalu-alukan permohonan dari orang ramai,” katanya dalam kenyataan.
Pada 2021, MR D.I.Y. telah disenaraikan sebagai salah satu daripada 113 majikan pilihan dalam kalangan pelajar universiti di Malaysia dalam Graduates’ Choice Award (GCA) oleh Talentbank, sebuah ekosistem pencarian kerjaya yang telah memenangi pelbagai anugerah.
MR D.I.Y. juga telah dinobatkan sebagai salah satu daripada tiga majikan terbaik dalam kategori Peruncitan.
Calon-calon yang berminat untuk menghadiri program pencarian pekerja perlu membawa resume terkini mereka, salinan kad pengenalan dan sijil-sijil akademik yang relevan untuk menghadiri temuduga tersebut.
Permohonan turut diterima dalam talian melalui https://forms.gle/bxHUMTk1PPLRuP1LA atau di https://www.mrdiy.com/career.