Langkasuka: Widad Builders dapat kontrak RM40 juta

Langkasuka: Widad Builders dapat kontrak RM40 juta

MUHAMMAD IKMAL OPAT ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bersedia menjadi pengubah permainan kepada landskap pelancongan dan hartanah Langkawi, projek mega bernilai RM40 bilion, The Langkasuka akan memulakan kerja pembinaannya tidak lama lagi.

Justeru, Widad Business Group (WBG) melalui anak syarikat milik penuhnya, Langkasuka Land Sdn. Bhd. telah memberikan Surat Anugerah kepada Widad Builders Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Widad Group untuk pembinaan dan penyiapan kerja tanah dengan jumlah kontrak RM40 juta.

Kontrak yang dianugerahkan oleh Langkasuka Land kepada Widad Builders telah ditawarkan pada 9 September lalu dan kemudiannya diterima oleh syarikat tersebut, semalam.

Ia sebahagian daripada Fasa 1 pelan induk The Langkasuka dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.45 bilion, terdiri daripada pelaksanaan dan penyiapan pembersihan tapak dan kerja tanah, tembok penahan, kerja-kerja perlindungan alam sekitar dan sebarang kerja berkaitan yang penting untuk menyiapkan The Langkasuka.

Tempoh pembinaan projek yang dianggarkan selama 10 bulan itu akan bermula 22 September ini dan dijangka siap pada 22 Julai 2023.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata, Langkasuka adalah antara projek terbesar WBG dan menjadi keutamaan Kumpulan dalam mengenal pasti kontraktor yang tepat untuk melaksanakan projek tersebut.

“Anugerah ini juga menandakan langkah pertama kami dalam menjadikan projek sebesar itu menjadi kenyataan.

“Langkasuka adalah projek unik kerana ia adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia serta Asia Tenggara. Ia dijangka membentuk semula landskap pelancongan Langkawi untuk menjadi destinasi pilihan pelancong antarabangsa dan tempatan di samping melonjakkan nilai hartanahnya ke tahap yang lebih tinggi.

“Selain menikmati faedah industri pelancongan yang akan datang, projek itu juga akan membawa nilai tambah seperti peluang penciptaan pekerjaan dan merancakkan aktiviti ekonomi Langkawi,” katanya dalam kenyataan.

Pembangunan guna bercampur itu akan merentas 2,000 ekar pulau buatan dan dibangunkan menerusi dua fasa dalam tempoh 15 tahun.

Fasa pertama terdiri daripada padang golf bertaraf antarabangsa dan kejohanan di tepi laut, vila dan rumah peranginan dengan unsur seni bina Melayu.

Selain itu, ia dilengkapi pusat beli-belah, Designers’ Brand Mall, bazar The Langkasuka Village, hotel lima bintang dengan pemandangan laut Andaman serta kondominium mewah dengan pemandangan laut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×