Kegiatan ekonomi negara masih rancak - Utusan Malaysia

Kegiatan ekonomi negara masih rancak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemelesetan ekonomi secara teknikalnya diklasifikasikan sebagai penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk enam bulan atau dua suku tahun berturut-turut, menurut penganalisis ekonomi.

Justeru, agak sukar untuk mengatakan Malaysia berdepan dengan kemelesetan ekonomi atau tidak pada tahun ini kerana prestasi ekonomi negara pada suku pertama dan kedua sangat baik dan dijangka terus rancak pada suku seterusnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, walaupun unjuran pada suku ketiga dijangka tidak mencapai prestasi seperti suku kedua, namun keputusannya akan terus positif.

Sekiranya KDNK pada suku ketiga mencatatkan kadar positif sekitar lima hingga enam peratus,  ia cukup baik untuk menyokong prestasi suku pertama dan kedua serta memberikan suntikan momentum positif untuk suku keempat yang dijangka perlahan. 

“Jadi untuk tahun ini, KDNK diunjurkan antara lima hingga enam peratus. Bagaimanapun ia terus dibayangi oleh kadar inflasi pada 3.5 ke 4.0 peratus, lalu memberikan KDNK sebenar sekitar 2.0 peratus untuk tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, kegiatan ekonomi negara terus rancak dengan laporan KDNK yang positif dan kadar pengangguran juga mencatatkan perkembangan baik kepada 3.9 peratus berbanding hampir lima peratus tahun lalu. 

“Aktiviti ekonomi juga rancak dengan pelbagai sektor mencatatkan peningkatan dari segi produktivi, namun tidak dinafikan kenaikan kadar inflasi yang tinggi membayangi kenaikan sebenar KDNK.

“Ini memberikan julat yang lebih kecil untuk pemulihan ekonomi sekarang dan memberikan cabaran untuk mencapai tahap perkembangan KDNK seperti tahun-tahun sebelum pandemik melanda dunia,” jelasnya.

Aimi Zulhazmi menjelaskan, dengan kemelesetan ekonomi global, risiko untuk negara berdepan dengan kemelesetan pada tahun depan tetap ada,namun bukan tahun ini. 

“Antara isu yang memberi impak kepada pasaran global tahun depan ialah kenaikan nilai dolar Amerika Syarikat (AS), krisis geopolitik berpanjangan di Ukraine dan Taiwan, penguncupan ekonomi negara-negara maju seperti United Kingdom (UK), Kesatuan Eropah dan China.

“Untuk 2022, perkara-perkara tersebut juga telah memperlahankan pemulihan ekonomi negara, namun ia akan lebih jelas pada suku keempat nanti,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.