TOKYO: Jepun dijangka mengecualikan keperluan visa untuk pelancong tertentu dan menghapuskan had ketibaan harian pada Oktober dalam usaha negara itu mendapat manfaat daripada pemulihan sektor pelancongan global, lapor Nikkei.
Berikutan perubahan itu, Jepun tidak akan memerlukan visa untuk pengembara jangka pendek dari AS dan beberapa negara lain, dan akan membatalkan had kemasukan harian sebanyak 50,000 orang, jelas laporan itu.
Nikkei berkata, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dijangka akan mengumumkan perkara itu dalam waktu terdekat.
“Dengan yen merosot menghampiri paras terendah 24 tahun berbanding dolar, disebabkan oleh Rizab Persekutuan AS yang hawkish, kerajaan Jepun boleh mendapat manfaat daripada peningkatan kuasa beli pelancong dengan mengurangkan keperluan perjalanan,” tambah laporan itu.
Jepun minggu lalu menaikkan siling harian kemasukan pengembara kepada 50,000 daripada 20,000, dan menghapuskan keperluan untuk ujian Covid sebelum berlepas, langkah disifatkan antara paling ketat dalam kalangan negara maju.
Sebelum pandemik, Jepun tidak memerlukan visa pelancong untuk pelawat dari 68 negara dan wilayah.
Sementara itu, Reuters melaporkan, yen meningkat 1 peratus berbanding dolar pada sesi dagangan pada Rabu, selepas Bank of Japan (BOJ) menjalankan semakan kadar sebagai persediaan untuk campur tangan mata wang.
Minggu lalu, dolar meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 24 tahun berbanding yen yang susut 20 peratus kepada 145, selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah bagi membendung kenaikan inflasi.
“Yen telah melemah dengan begitu pantas sehingga ia memberi kesan besar kepada pengurusan perniagaan,” tulis seorang pengurus di sebuah syarikat automotif.
Dalam semakan kadar, BOJ memanggil peniaga dan meminta harga beli/jual yen. Walau bagaimanapun, campur tangan untuk menyokong mata wang tempatan itu akan menjadi langkah yang lebih besar.
Menteri Kewangan Jepun, Shunichi Suzuki memberitahu pemberita bahawa pergerakan yen baru-baru ini adalah “cepat dan berat sebelah”, sambil menambah, campur tangan mata wang adalah antara pilihan kerajaan sekiranya situasi itu berterusan. – AGENSI










