PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang sebanyak 5.1 peratus tahun ke tahun pada 2022.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), indikator terkini menunjukkan ekonomi kekal pada trajektori positif dengan pertumbuhan yang menggalakkan dalam pengeluaran domestik dan sektor luaran.
Katanya, pengeluaran getah asli Malaysia merosot sebanyak 21.8 peratus kepada 38,006 tan metrik pada Julai 2022.
“Sementara itu, statistik kelapa sawit, pengeluaran buah tandan segar meningkat 3.8 peratus kepada 8,869,329 tan metrik pada Ogos 2022.
“Pada Julai lalu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 12.5 peratus tahun ke tahun.
“Pada masa yang sama, sektor Pembuatan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM148.4 bilion, meningkat 23.8 peratus berbanding bulan yang sama pada 2021.
“Selain itu, nilai jualan sektor Perdagangan Borong & Runcit juga meningkat 41.0 peratus tahun ke tahun kepada RM130.7 bilion pada Julai lalu,” katanya dalam kenyataan mengulas Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 9/2022.
Melihat kepada prestasi sektor luaran, DOSM berkata, nilai jualan sektor Perdagangan Borong & Runcit juga meningkat 41.0 peratus tahun ke tahun kepada RM130.7 bilion pada Julai 2022.
Sementara itu, dari segi prestasi pasaran buruh katanya, bilangan penduduk bekerja meningkat 4.5 peratus kepada 15.98 juta orang pada Julai 2022 manakala kadar pengangguran dicatatkan pada 3.7 peratus.
IHP dan IHPR pada Ogos lalu masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 4.7 peratus dan 6.8 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Indeks Pelopor (LI) pada Julai 2022 menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia mungkin meramalkan prestasi ekonomi yang optimistik pada bulan-bulan akan datang.
“LI mengekalkan pertumbuhan tahunan positifnya 4.1 peratus Julai 2022 walaupun lebih rendah daripada 5.3 peratus yang dicatatkan pada Jun 2022,” katanya. – UTUSAN











