JOHOR BAHRU: Iskandar Investment Berhad (IIB) akan terus komited dan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri serta Pusat dalam merealisasikan aspirasi memajukan negeri dan negara ini.
Justeru, segala dasar dan hala tuju pembangunan yang dilaksanakan oleh IIB akan dipastikan dapat mengangkat visi dan misi serta bergerak seiring dengan perancangan kerajaan demi manfaat rakyat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad menegaskan, menyedari tanggungjawab besar tersebut dan demi mencapai matlamat itu, kerjasama serta hubungan baik dengan semua pemegang taruh amat penting supaya semua perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Di bawah naungan Khazanah Nasional Berhad, kami akan meneruskan pelaburan dan pembangunan di Iskandar Malaysia pada masa depan sejajar dengan agenda ‘Memajukan Malaysia’ (Advancing Malaysia) yang diilhamkan oleh pihak Khazanah Nasional untuk memacu pertumbuhan sosio-ekonomi dan menetapkan daya saing negara demi manfaat rakyat Malaysia.
“IIB juga akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam merealisasikan Agenda Digital Johor dan Maju Johor demi kelestarian pembangunan ekonomi dan sosial untuk memastikan segala inisiatif IIB dan kerajaan adalah sejajar. Semua ini kita lakukan demi manfaat rakyat, sama ada di peringkat negeri mahu pun Pusat dan komitmen berterusan ini akan kita perkasakan demi manfaat semua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Khairil Anwar berkata, sejak diberi kepercayaan dan mandat oleh kerajaan untuk menarik pelaburan ke kawasan Iskandar Malaysia, khususnya di Iskandar Puteri terdapat tiga kunci utama kejayaan IIB.
“Yang pertama ialah komitmen yang jelas dan konsisten. IIB bersama-sama anak-anak syarikat Khazanah Nasional telah melabur dengan konsisten menerusi aset-asetnya di Iskandar Malaysia demi memacu perkembangan ekonomi dan sosial sejak tahun 2008 hingga kini.
“Yang kedua ialah pembangunan yang selari dengan agenda kerajaan, iaitu kerjasama rapat dengan semua pemegang taruh yang telah mewujudkan kesinambungan dan membolehkan kami menjadi ‘enabler’ untuk mencapai aspirasi kerajaan, manakala ketiga ialah semua anak syarikat Khazanah Nasional memberi keutamaan dalam memelihara integriti bagi memelihara keyakinan para pelabur dan menjaga imej Iskandar Malaysia,” tegasnya.
Selepas berjaya menyediakan infrastruktur yang baik dan lengkap, kini tumpuan IIB terarah kepada pembangunan ekosistem untuk mengguna pakai infrastruktur yang telah terbina.
“Pelbagai usaha akan dilaksanakan untuk membina tenaga kerja bakat baru, membesarkan populasi dan mendirikan pelbagai hab industri digital di Iskandar Puteri.
Khairil Anwar berkata, dengan wujudnya pelbagai infrastruktur dan faktor penarik yang dibina oleh IIB, maka pelbagai bentuk pembangunan telah dapat direalisasikan dengan nilai komersial tinggi dan kini, IIB mula beralih daripada pemaju pemangkin menjadi sebuah syarikat berdaya komersial untuk memberikan pulangan kepada pemegang sahamnya.
“IIB amat komited untuk memastikan pulangan yang baik untuk pemegang saham dengan penerima manfaatnya adalah rakyat Malaysia di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.
Antara projek pemangkin yang telah dilaksanakan oleh IIB adalah pembinaan rangkaian lebuh raya dari Johor Bahru ke Iskandar Puteri, Taman Tema Legoland, pusat kecemerlangan pendidikan Educity dan pusat bandar Medini.
Kejayaan projek pemangkin tersebut berjaya menarik pelaburan asing untuk bertapak di Iskandar Puteri, antaranya Sangkyu Japan, DHL, Ok Blockchain, Deluxe Games, Blockon serta beberapa institusi pengajian antarabangsa serta perhotelan.
Menurutnya, agenda pembinaan ekosistem ini diterajui oleh inisiatif Iskandar New Economy, Experience & Talent (Iskandar Next) yang merangkumi pelbagai projek pembangunan hab ekonomi baru seperti Dron and Robotic Zone (DRZ), Perantis Iskandar, Blockchain Village dan Pusat kecemerlangan industri kenderaan elektrik.
“Kita mendukung aspirasi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi Maju Johor dalam usaha menjadikan Johor negeri termaju dalam negara. Memang menjadi matlamat IIB untuk meneruskan pelaksanaan projek pemangkin di Iskandar Puteri bagi melonjakkan ekonomi negeri ini.
“Hasrat kita untuk menarik lebih ramai pelabur ke Iskandar Puteri. Pelaburan langsung asing (FDI) adalah penting untuk Johor. Justeru, kita perlu memudahkan proses bagi syarikat asing untuk melakukan pelaburan dan mengembangkan syarikat mereka ke negeri ini, sekali gus memberi keyakinan supaya mereka memilih Iskandar Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan,” katanya sambil menegaska bahawa kemasukan pelabur asing di Iskandar Malaysia akan membuka ruang dan menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di negeri ini. – UTUSAN











