SEOUL: Samsung Electronics akan melabur lebih tujuh trilion won (AS$5.02 bilion/ RM22.74 bilion) menjelang 2030, sebagai sebahagian daripada inisiatif alam sekitar menyeluruh bertujuan menjadikan syarikat itu neutral karbon menjelang 2050.
Samsung, pembuat cip dan telefon mudah alih terbesar di dunia itu berkata, ia akan membelanjakan peruntukan itu untuk pembangunan dan penyelidikan (R&D), bertujuan menapis gas rumah hijau dan `menangkap’ karbon dioksida yang dihasilkan semasa pengeluaran cip.
Menurut Ketua Kumpulan Strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Samsung, Kim Soo-jin, Kumpulan juga sedang berusaha untuk menjadikan perniagaan perantinya neutral karbon menjelang 2030.
Kata beliau, Kumpulan juga merancang untuk meningkatkan sumber kitar semula seperti litium dan plastik.
“Aktiviti ini akhirnya untuk memenuhi permintaan daripada pelanggan kami, jadi kami dapat meningkatkan minat terhadap produk kami. Ada kos, tetapi kami akan cuba menjalin peluang perniagaan,” katanya, lapor Reuters.
Samsung berkata, ia menyertai kumpulan syarikat global yang komited kepada 100 peratus tenaga boleh diperbaharui dipanggil RE100, seperti Apple, TSMC dan Intel.
Perniagaan cip dan komponen menyumbang 15.6 juta atau 90 peratus daripada 17.4 juta tan gas rumah hijau yang dikeluarkan Samsung Electronics pada 2021, manakala perniagaan peranti termasuk mudah alih, menyumbang 10 peratus, kata syarikat itu.
Penganalisis berkata, Korea Selatan juga menyasarkan untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050, tetapi usaha itu mencabar bagi negara yang mempunyai industri berat yang ketara, termasuk pembinaan kapal dan keluli.
Data Kementerian Perindustrian Korea Selatan menunjukkan, negara itu bergantung kepada arang batu dan gas untuk lebih 60 peratus daripada penjanaan elektriknya, manakala hanya 6 peratus daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.
Bagi kilang cip Samsung dan pengeluar lain di Korea Selatan, tenaga yang stabil dan mampu milik adalah kunci untuk daya saing, tetapi kemajuan dalam tenaga boleh diperbaharui terlalu lambat untuk memenuhi kriteria itu setakat ini, menurut penganalisis.
“Kami adalah syarikat yang mengeluarkan (produk) secara langsung… jadi terdapat pelbagai cabaran yang berlapis-lapis,” kata Soo-jin. – AGENSI










