Dulu berniaga di bazar, kini miliki 11 butik pakaian - Utusan Malaysia

Dulu berniaga di bazar, kini miliki 11 butik pakaian

BUTIK RIFFAA di Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan hanya berniaga di sebuah bazar dekat Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, siapa sangka wanita ini mampu membina empayar pakaiannya sendiri.

Wan Fatimah Megat Saad, 38, pernah melibatkan diri dalam perniagaan salon kecantikan pada awal 2008 sebelum terjun ke bisnes pakaian setahun kemudian sekali gus menjadikan ia sebagai platform untuk mengembangkan karier.

Minat terhadap fesyen menjadi pencetus semangat kepada Pengarah Kumpulan Riffaa Sdn. Bhd. ini untuk membuka butik pertama di sebuah pusat beli-belah di Changlun, Kedah pada 2009 yang menawarkan pakaian pada harga berpatutan.

Berkonsepkan ‘Pakaian kayangan pada harga marhaen’, Butik Riffaa kini mempunyai cawangan di Alor Setar dan Kubang Pasu, Kedah; Kangar, Perlis; Seremban 2, Negeri Sembilan dan Shah Alam, Selangor.

Setakat ini, Butik Riffaa mempunyai kapasiti lebih sejuta helai pakaian setiap bulan yang ditawarkan pada harga bermula RM19.90 sehingga RM69 yang dilihat sangat berpatutan sekali gus menjadikan jenama ini sohor terutama di utara tanah air.

BERPERWATAKAN menarik dan meminati fesyen terkini menjadi bonus kepada Wan Fatimah Megat Saad yang juga bertindak sebagai model pakaian jenama Riffaa.

Menurut Wan Fatimah yang mengusahakan perniagaan itu disamping suami, Mohd. Rizal Ramli, 43, beliau meminati fesyen sejak kecil namun berasal daripada orang kurang berada sekali gus mencetus keazaman untuk membuka butik pakaian seumpama itu.

“Butik Riffaa yang pertama kami buka di Changlun pada 2009 dengan harapan dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli pakaian pada harga murah namun masih mengikuti peredaran fesyen.

“Saya akan hasilkan rekaan pakaian sendiri untuk label Riffaa mengikut permintaan pelanggan dan fesyen terkini, sebelum pengeluaran dilakukan di China. 

“Salah satu sebab kami mampu jual pada harga berpatutan adalah kos produksi yang rendah di negara itu apatah lagi kami hasilkan dalam kuantiti yang banyak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Katanya, perniagaan itu berkembang kerana sokongan daripada pelanggan yang menggemari fesyen di Butik Riffaa.

“Memang murah tetapi masih ikut fesyen. Mungkin itu sebabnya banyak yang minat dan mampu beli. Kini walaupun saat kos bahan semakin meningkat namun Butik Riffaa masih berusaha mengekalkan harga pakaian kami serendah mungkin.

WAN Fatimah Megat Saad gemar menggayakan pakaian jenamanya sendiri yang mempunyai kapasiti produksi sejuta helai setiap bulan.

“Bagi sehelai blaus yang berpotongan terkini, kami masih menjual pada harga RM39.90 berbanding di tempat lain mungkin RM69 atau RM80. Butik ini untuk rakyat marhaen jadi kami ingin kekalkan itu,” jelasnya.

Beliau tidak menafikan, pandemik yang menjelma pada 2019 dan ditambah dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini sedikit sebanyak membantutkan perniagaan tersebut.

“Itu cabaran paling getir yang pernah kami alami apabila butik terpaksa ditutup dan produksi terhenti begitu sahaja. Namun demi kelangsungan bisnes, kami harus mencari jalan untuk memastikan setiap bulan ada transaksi jualan.

“Jadi kami mulakan jualan dalam talian tidak lama selepas PKP pada 2020. Alhamdulillah jualan rancak dan menjadi penyelamat perniagaan kami. Malah sehingga kini jualan secara atas talian masih memberangsangkan setiap bulan apabila kami mampu menjual sehingga 10,000 helai pakaian,” ujar ibu anak empat ini.

Apa yang lebih membanggakan ahli perniagaan ini, katanya, walaupun jenama pakaian itu sudah berkembang namun mereka masih bertahan dengan pengurusan perniagaan kos sifar untuk memastikan harga pakaian itu dapat kekal berpatutan demi pelanggan.

“Sekarang zaman teknologi dan media sosial jadi kami gunakan corak pemasaran melalui medium ini semaksimum mungkin. Saya juga sering bersiaran langsung di media sosial untuk memperkenalkan koleksi terbaharu kami,” katanya.

Menyentuh tentang perancangan masa depan, kata Wan Fatimah, beliau berharap, Kumpulan Riffaa mampu terus berkembang dengan menambah lebih banyak cawangan di seluruh negara.

“Harapan saya adalah Butik Riffaa akan bertapak di setiap negeri supaya orang ramai dapat membeli pakaian pada harga murah namun masih nampak bergaya,” katanya.

Sebagai usaha mengembangkan perniagaan, kata Wan Fatimah, mereka juga terjun ke bidang agro-pelancongan sejak bulan lepas dengan membuka sebuah restoran di dusun milik mereka di Changlun.

Bercakap tentang resipi dan cabaran, wanita itu mengakui ia bukan langkah mudah untuk mempertahankan perniagaan itu kerana memerlukan komitmen dan kesungguhan yang tinggi.

“Kami bermula daripada dua orang saja iaitu saya dan suami, namun kini mempunyai lebih 40 pekerja termasuk pihak pengurusan. Sesuatu yang saya belajar adalah kita perlu fokus dan komited dalam memastikan semua urusan perniagaan lancar.

“Salah satu lagi resipi yang saya percaya sangat penting adalah jangan boros walaupun anda mampu, contoh baru berniaga tetapi berkeinginan memiliki kereta mewah jutaan ringgit itu membazir sebaliknya laburkan kepada sesuatu yang tidak susut nilainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya