PETALING JAYA: Perundingan program kediaman dan kewarganegaraan, Henley & Partners (H&P) menyenaraikan Dubai, Mumbai dan Shenzhen sebagai bandar terkaya masa hadapan, dalam laporan suku ketiga Global Citizens Report 2022 yang dikeluarkan, semalam.
Laporan itu menyenaraikan 20 bandar terkaya di dunia dengan enam daripadanya bandar di Amerika Syarikat, dua bandar Swizerland dan lapan lagi bandar di rantau Asia Pasifik.
Menurut laporan itu, Dubai ketika ini pada kedudukan 23, mempunyai seramai 67,900 jutawan termasuk 202 centi-jutawan dan 13 bilionair.
Mumbai pula dengan 60,600 jutawan, 243 centi-jutawan dan 30 bilionair berada pada kedudukan ke-25. Shenzhen ketika ini di kedudukan ke-30 dengan 43,600 jutawan termasuk 135 centi-jutawan dan 17 bilionair.
Laporan itu menyenaraikan bandar raya New York sebagai bandar terkaya di dunia dengan mempunyai 345,600 jutawan, termasuk 737 centi-jutawan (dengan harta berjumlah AS$100 juta (RM454.45 juta) atau lebih) dan 38 bilionair.
“New York merupakan pusat kewangan Amerika Syarikat dan bandar terkaya di dunia berdasarkan beberapa ukuran. Ia juga `tuan rumah’ kepada dua pasaran saham terbesar dunia dari segi permodalan pasaran iaitu Dow Jones dan Nasdaq,” katanya dalam laporan itu.
Jelas laporan itu, jumlah kekayaan peribadi penduduk New York melebihi AS$3 trilion (RM13.63 trilion), lebih tinggi daripada jumlah kekayaan peribadi dimiliki di kebanyakan bandar negara Kumpulan 20.
Sementara itu, H&P berkata, sebagai bandar terkaya di dunia selama bertahun-tahun, hari ini 272,400 jutawan menganggap London sebagai rumah mereka, dengan 406 daripadanya merupakan golongan centi-jutawan dan 38 bilionair.
Selain Tokyo, Singapura turut tersenarai dalam kelompok 20 bandar terkaya dalam laporan itu pada kedudukan kelima dengan 249,800 individu kaya, termasuk 336 centi-jutawan dan 26 bilionair.
Bagi China, bandar terbesarnya, Shanghai turut tersenarai dengan mempunyai 130,100 jutawan termasuk 350 daripadanya centi-jutawan dan 42 bilionair.
“Bursa Saham Shanghai adalah yang ketiga terbesar di dunia mengikut permodalan pasaran (selepas Dow Jones dan Nasdaq),” jelas laporan itu.
INFO:
Senarai 10 bandar terkaya dan jumlah individu kaya:
1. New York, AS (345,600)
2. Tokyo, Jepun (304,900)
3. San Francisco Bay Area, AS (276,400)
4. London, United Kingdom (272,400)
5. Singapura (249,400)
6. Los Angeles , AS (192,400)
7. Chicago, AS (160,100)
8. Houstan, AS (132,600)
9. Beijing, China (131,500)
10. Shanghai, China (130,10).
Sumnber: Laporan Henley & Partners. – UTUSAN










