Daiwa House bina gudang logistik pelbagai kemudahan terbesar

Daiwa House bina gudang logistik pelbagai kemudahan terbesar

URAKAWA (depan, kanan) menyampaikan cenderamata kepada Chang Kim (depan, kiri) pada majlis pecah tanah DPL Malaysia III di Shah Alam, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pembinaan, Kumpulan Daiwa House akan membina gudang logistik pelbagai kemudahan tiga tingkat dengan keluasan lantai kasar terbesar pernah dibina syarikat itu di luar negara.

Gudang yang dinamakan DPL Malaysia III itu meliputi keluasan lantai kasar 156,292 meter persegi, bersamaan kira-kira tiga kali ganda stadium Tokyo Dome di Jepun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Daiwa House Industries Co. Ltd., Tatsuya Urakawa, kemudahan tersebut dijangka siap pada penghujung Januari 2025 dan turut dilengkapi kemudahan tenaga solar pada bahagian bumbung.

“Kami berasa bangga dengan sokongan yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor, kedutaan Jepun di Malaysia dan pihak-pihak berkuasa lain di Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami sehingga majlis pecah tanah untuk DPL Malaysia III dapat direalisasikan.

“Terima kasih juga kepada pihak konsultan, iaitu IPPM serta kontraktor SLG yang turut memainkan peranan penting bagi merealisasikan majlis pada hari ini,” katanya.

DPL Malaysia III merupakan gudang logistik ketiga yang ditubuhkan Daiwa House di Malaysia selepas D Project Malaysia I dan D Project Malaysia II, masing-masing siap pada Ogos 2020 dan Oktober 2021.

Ketiga-tiga gudang itu terletak di Shah Alam, Selangor.

Majlis pecah tanah DPL Malaysia III telah diadakan di Shah Alam pada 20 September lalu dan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Khim.

Kumpulan Daiwa House merupakan syarikat pelbagai negara (MNC) dari Jepun yang beroperasi di 24 buah negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Pembangunan gudang logistik kini menjadi perniagaan utama syarikat itu dan anak syarikatnya di Malaysia, Daiwa House Malaysia Logistic Sdn. Bhd. ditubuhkan pada Mei 2018 yang lalu.

“Kami sangat menghargai para pelanggan serta rakan-rakan entiti kami yang telah menggunakan sepenuhnya kemudahan ini (D Project Malaysia I dan II), sekali gus mencapai sasaran seratus peratus penggunaan.

“Kami berasa bangga kerana Daiwa House turut memainkan peranan penting untuk menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia meskipun dalam jumlah yang kecil,” kata Urakawa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×