JOHOR BAHRU: China menjadi pelabur tertinggi yang menyumbang kepada nilai pelaburan RM60.9 bilion direkodkan negeri ini bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, pelaburan yang dilakukan syarikat-syarikat China itu dianggarkan hampir RM40 bilion, meliputi 60 peratus pelaburan yang diraih.
Selain China, Singapura dan Korea Selatan turut menjadi antara penyumbang terbesar nilai pelaburan yang direkodkan sehingga suku kedua tahun ini.
Katanya, menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar dengan RM54.2 bilion dan perkilangan sebanyak RM6.7 bilion.
“Pada enam bulan pertama ini, kita telah pun mencapai RM60.9 bilion, satu pencapaian yang membanggakan dan pelaburan tertinggi dalam negara direkodkan Pulau Pinang, iaitu hampir RM88 bilion pada tahun lalu. Walaupun kita tidak meletakkan sasaran yang ingin dicapai, tapi kita akan usahakan untuk memperoleh satu angka yang lebih besar.
“Ini bagi membolehkan limpahan ekonomi daripada pelaburan berskala besar itu dirasai kepada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan mencipta rantaian pembekalan dan sokongan kepada industri,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Keterlibatan SIRIM dan Industri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad.
Sebelum ini, MIDA melaporkan Johor telah mencatatkan jumlah pelaburan bernilai RM60.9 bilion bagi enam bulan pertama tahun ini, mencatatkan peningkatan sebanyak 822 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu RM6.6 bilion.
Antara syarikat yang memilih Johor sebagai destinasi pelaburan mereka pada tahun ini ialah SPC Group (Korea Selatan), GDS Holdings Ltd (China), Insulet Corporation (Amerika Syarikat) dan Wiwynn Corporation (Taiwan).
Ting Han berkata, statistik itu menunjukkan Johor terus menjadi destinasi pelaburan utama dalam negara kerana mempunyai ekosistem pelaburan dan perindustrian yang dapat menyokong pembangunan industri dan sektor perkhidmatan yang berimpak tinggi dan berteknologi tinggi.
Pihaknya kini dalam perbincangan dengan beberapa syarikat dari Singapura, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun berkaitan pelaburan berskala besar yang akan diumumkan kelak.
“Kita jangka dapat realisasikan beberapa projek berskala besar dalam suku ketiga dan keempat dalam sektor pembuatan kimia, petro kimia dengan peranti perubatan.
“Dalam tempoh sebulan lagi, kita jangka dapat mengadakan satu sesi pelancaran projek berkaitan aeroangkasa. Jadi, kita amat yakin dapat mempertingkatkan lagi pencapaian kita berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya. – UTUSAN











