Bank Dunia naikkan unjuran KDNK Malaysia 6.4 peratus

Bank Dunia naikkan unjuran KDNK Malaysia 6.4 peratus

KDNK suku ketiga negara berkembang pada 5.3 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Dunia menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini kepada 6.4 peratus daripada 5.5 peratus sebelumnya.

Bagaimanapun, bank itu me­nurunkan anggaran pertumbu­han Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk 2023 kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini.

Pakar ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Apurva Sanghi berkata, data itu menunjukkan pertumbuhan ekonomi negara ini telah berkembang melebihi jangkaan pada separuh pertama 2022.

“Prestasi lebih baik dalam sektor perkhidmatan, pelanco­ngan dan pembuatan, ditambah dengan pemulihan dalam pembinaan turut menyumbang kepada jangkauan yang lebih baik, justeru ia disemak semula.

“Kami menjangkakan beberapa momentum positif akan berterusan ke separuh kedua. Pertumbuhan suku ketiga tahun ini sepatutnya mendapat manfaat daripada asas rendah suku ketiga pada 2021 apabila ekonomi menguncup sebanyak 4.5 peratus,” katanya dalam taklimat media maya Perkembangan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik oleh Bank Dunia.

Apurva berkata, permintaan domestik Malaysia disokong dengan kukuh pada suku kedua, didorong oleh peningkatan da­­lam pasaran buruh serta langkah seperti kenaikan gaji minimum dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Penggunaan swasta me­ning­kat sebanyak 18.3 peratus pada suku tersebut atas pe­ningkatan perbelanjaan bagi barangan seperti restoran dan hotel serta perkhidmatan rekreasi, manakala pelaburan meningkat 5.8 peratus dalam kedua-dua sektor swasta dan awam,” ujarnya.

Beliau menegaskan, risiko kenaikan inflasi, kos sara hidup yang lebih tinggi, kesan pengurangan langkah bantuan tunai dan persekitaran luaran yang lembap boleh menimbulkan risiko penurunan dalam separuh kedua 2022.

“Bagi ekonomi yang hampir 60 peratus bergantung kepada penggunaan swasta dan dua pertiga daripada pertumbuhan datang daripada penggunaan swasta, sebarang kejutan terhadap permintaan dalam negeri boleh melambatkan atau menahan momentum pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini.

“Oleh itu, pertumbuhan itu rapuh dan Malaysia perlu memberi tumpuan kepada membina rangka kerja promosi pelaburan yang padu untuk menambah baik pelaburan langsung asing,” katanya.

Sementara itu, Bank Dunia juga menyemak semula anggaran pertumbuhan KDNK Malaysia yang menurun untuk 2023 kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini memandangkan ketidaktentuan dalam persekitaran global.

Beliau berkata, terdapat halangan yang ketara daripada ketidaktentuan ekonomi glo­bal, termasuk perkembangan terkini di Ukraine, kelembapan di China, peningkatan inflasi dalam negeri, serta kekurangan pekerja yang boleh menghalang Malaysia daripada mencapai potensi penuhnya.

Namun begitu, ujarnya, asas Malaysia kekal kukuh, memandangkan status negara sebagai pengeksport komoditi utama dan elektrik dan elektronik (E&E) dengan gangguan rantaian bekalan yang terhad di Asia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×