PETALING JAYA: Kerajaan disaran memperkenalkan insentif yang boleh memendekkan proses mendaftarkan perniagaan di negara ini dalam Bajet 2023 sebagai usaha menarik pelaburan asing bernilai tinggi ke Malaysia.
Perkara tersebut dapat menjadi daya tarikan kepada pelabur di samping Program Visa Premium (PVIP) Malaysia yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, Malaysia mempunyai pelbagai kelebihan yang boleh menarik pelaburan termasuk kemudahan infrastruktur yang baik dan kos lebih rendah berbanding negara seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan.
Katanya, kelebihan tersebut harus digunakan kerajaan dengan mengurangkan waktu yang diperlukan pelabur luar untuk mendapatkan lesen atau permit bagi memulakan operasi mereka di negara ini.
“Dengan bantuan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), proses ini boleh dipercepatkan. Namun biasanya, ia akan mengambil masa.
“Ada sesetengah negara, proses tersebut boleh dilakukan dalam masa satu hari sahaja seperti Singapura. Jadi, apa yang kita perlukan adalah menambah baik daripada segi memulakan perniagaan di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Kim Leng berkata, persekitaran negara yang mesra perniagaan juga memberi kelebihan kepada Malaysia untuk menarik pelabur-pelabur luar yang bernilai tinggi.
Malah, jelasnya, lokasi negara strategik untuk dijadikan hab perniagaan antarabangsa terutamanya kepada pelabur antarabangsa yang mahu menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat atau pusat perniagaan mereka.
“Tambahan pula dengan ketegangan dalam perdagangan antara Russia, China dan Amerika Syarikat (AS), ini adalah peluang yang baik dengan menjadikan Malaysia sebagai lokasi ‘neutral’ untuk menempatkan perniagaan dan pelaburan mereka.
“Pelaburan bernilai tinggi ini akan memberi impak yang besar dan berganda kepada ekonomi, kerana ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan serta mempertingkatkan persekitaran pelaburan Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN











