PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), mengisytiharkan pembayaran agihan pendapatan Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) bagi tahun kewangan berakhir 30 September, berjumlah RM573.66 juta
Menurut ASNB, agihan pendapatan itu akan memanfaatkan sebanyak 551,685 pemegang unit yang memiliki 15.30 bilion unit.
Jelasnya, secara keseluruhannya, dana itu merekodkan pendapatan kasar berjumlah RM757.81 juta dan RM575.87 juta pendapatan bersih direalisasi di sebalik kebimbangan kemelesetan dan gangguan rantaian bekalan global yang menjejaskan prestasi pasaran global.
“Pendapatan untuk ASM 3 diperoleh daripada hasil keuntungan yang direalisasi, dividen serta lain-lain pendapatan daripada pelaburan domestik dan antarabangsa. Strategi kepelbagaian yang dilaksanakan oleh dana ini terus menunjukkan hasil yang positif dengan ekuiti antarabangsa menyumbang 40.9 peratus kepada pendapatan kasar keseluruhan dana.
“Pengagihan pendapatan ASM 3 adalah bersamaan dengan jumlah pulangan sebanyak 3.75 peratus, mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.02 peratus iaitu sebanyak 173 mata asas bagi tahun kewangan setakat 22 September 2022,” katanya dalam kenyataan,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










