TNB tawar Insentif Sinaran Merdeka

TNB tawar Insentif Sinaran Merdeka sempena Hari Kebangsaan

SEMPENA sambutan Hari Kebangsaan Ke-65, TNB sekali lagi menawarkan Insentif Sinaran Merdeka bagi menggalakkan pelanggan komersial menerangi bangunan dan kawasan persekitaran mereka dengan lampu hiasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sempena Hari Kebangsaan Ke-65, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali lagi menawarkan Insentif Sinaran Merdeka bagi menggalakkan pelanggan komersial menerangi bangunan dan kawasan persekitaran mereka dengan lampu hia­san.

Inisiatif itu bagi menyokong usaha kerajaan dan pihak berkuasa tempatan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan.

Menurut TNB, Insentif Sinaran Merdeka adalah bagi tempoh penggunaan elektrik selama dua bulan iaitu dari 1 Ogos hingga 30 September 2022.

Jelasnya, insentif itu adalah berbentuk kadar tarif lebih rendah iaitu sebanyak 20.8 sen/kWj bagi jumlah peningkatan penggunaan elektrik yang melebihi purata penggunaan tiga bulan iaitu Mei, Jun dan Julai 2022.

“Insentif tahunan TNB ini ditawarkan sejak 2000 kepada semua pelanggan di bawah tarif perdagangan seperti bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial, kompleks beli-belah, hotel dan stesen minyak.

“Pelanggan yang layak adalah tergolong di bawah tarif perdagangan yang telah mendapat bekalan elektrik sebelum 1 Ogos 2021 dan telah menerima sekurang-kurangnya satu bil sebenar sama ada pada Mei, Jun atau Julai 2022.

“Manfaat insentif khas ini akan dimasukkan ke dalam bil Oktober 2022 secara sekali gus dan akan dipaparkan sebagai ‘Diskaun Karnival’,” katanya dalam kenyataan.

TNB berkata, pada tahun lalu, sebanyak 3,096 permohonan Insentif Sinaran Merdeka telah diterima dengan 62 peratus atau 1,910 pelanggan dikenal pasti layak menikmati insentif ber­kenaan.

Permohonan untuk promosi ini bermula dari 1 Ogos sehingga 15 September 2022. Pelanggan boleh memohon secara dalam talian melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau membuat permohonan di Kedai Tenaga berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×