LONDON: Taikun India, Gautam Adani menjadi individu pertama dari Asia tersenarai dalam carta Bloomberg Billionaires Index apabila menduduki tangga ketiga di belakang Elon Musk dan Jeff Bezos.
Sebelum ini, belum ada individu dari Asia tersenarai dalam carta tersebut, hatta Jack Ma dan rakan senegara Adani, Mukesh Ambani.
Menurut laporan Bloomberg, dengan kekayaan dianggarkan berjumlah AS$137.4 bilion (RM615.55 bilion, Adani memintas kedudukan bilionair Perancis, Bernad Arnault untuk muncul individu ketiga terkaya di dunia.
Adani, 60, yang gagal meneruskan pengajiannya di peringkat kolej, memulakan karier sebagai pedagang mutiara. Beliau kemudiannya melibatkan diri dalam perniagaan arang batu seterusnya berjaya membina antara konglomerat terbesar di India.
Beliau telah menghabiskan masa selama beberapa tahun untuk mengembangkan konglomerat arang batunya, dengan meneroka segala-gala peluang daripada pusat data kepada simen, media dan alumina.
Konglomerat miliknya kini merupakan operator pelabuhan dan lapangan terbang swasta terbesar di India, pengedar gas bandar dan pelombong arang batu.
“Walaupun lombong Carmichael miliknya di Australia telah dikritik oleh pejuang alam sekitar, ia berjanji pada November lalu untuk melabur sebanyak AS$70 bilion dalam tenaga hijau dalam usaha menjadi pengeluar tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia,” menurut laporan itu.
Bagaimanapun, jelas laporan itu, kebimbangan semakin meningkat terhadap pertumbuhan syarikatnya.
“Urusan urus niaga Adani kebanyakannya dibiayai dengan hutang dan empayarnya “sangat berlebihan”,” kata CreditSights dalam laporan bulanan Ogosnya.
Beberapa penggubal undang-undang dan pemerhati pasaran juga telah menimbulkan kebimbangan mengenai struktur pemegang saham yang tidak jelas dan kekurangan liputan penganalisis di syarikat Kumpulan Adani.
Menurut laporan, Adani telah menambah kekayaannya sebanyak AS$60.9 bilion pada 2022 sahaja, lima kali ganda lebih banyak berbanding orang lain.
Beliau pertama kali mengatasi Ambani sebagai orang terkaya Asia pada Februari, seterusnya menjadi `centibillionaire’ (individu dengan kekayaan melebihi AS&100 bilion) pada April dan mengatasi pengasas Microsoft Corp., Bill Gates sebagai orang keempat terkaya di dunia bulan lalu.
Kejayaan itu dikatakan berikutan tindakan Gates yang menyumbangkan sebanyak AS$20 bilion kekayaannya kepada Yayasan Bill & Melinda Gates.
Adani dilaporkan turut meningkatkan sumbangan untuk kerja-kerja amal apabila menyumbang AS$7.7 bilion pada Jun lalu sempena sambutan hari kelahirannya ke-60. Bagaimanapun, setakat ini tiada maklumat lanjut diberikan mengenai perkara tersebut. – AGENSI










