Wajib sertai Program Pembiayaan Vendor

Syarikat dapat projek besar kerajaan wajib sertai Program Pembiayaan Vendor

NOH Omar menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian antara UEM Edgenta dan HSBC Amanah di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mencadangkan kepada Kabinet untuk mewajibkan syarikat-syarikat besar yang menerima projek bernilai tinggi daripada kerajaan untuk menyertai Program Pembiayaan Vendor.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, program tersebut adalah bagi membantu kontraktor-kontraktor kecil terutamanya bumiputera untuk mendapat projek dan pembiayaan untuk terus membangunkan golongan tersebut selepas pandemik.

Katanya, menerus program itu, syarikat-syarikat `anchor’ tersebut akan mempunyai perjanjian dengan pihak bank yang boleh memudahkan syarikat perusahan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatkan akses pembiayaan dengan syarat yang tidak terlalu ketat serta tanpa cagaran.

“Sehingga kini terdapat 27 syarikat anchor yang mengikut program ini dan kementerian menyasarkan dapat mencapai sehingga 30 syarikat menjelang hujung tahun ini.

“Mungkin kita akan cadangkan kepada kabinet. Jadi ia akan diwajibkan bila sudah menjadi dasar nanti. Tapi ini terserah pada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) dengan HSBC Amanah Malaysia Berhad (HSBC Amanah) untuk membangunkan Program Pembiayaan Vendor Patuh Syariah (SFP) UEM Edgenta Learning Centre di sini, hari ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif, HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq.

Sementara itu, Noh berkata, pihaknya menggalakkan lebih banyak syarikat swasta untuk menyertai program tersebut bagi sama-sama berkongsi rezeki dengan syarikat PKS.

“Ketika ini kebanyakan syarikat anchor yang menyertai program ini adalah syarikat milik kerajaan (GLC). Oleh itu, kami mahu galakan lebih banyak syarikat swasta untuk turut serta.

“Manfaat yang diperoleh kepada mereka apabila menyertai program ini termasuklah pemotongan cukai berganda,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN