KLANG: Royal Carribbean Cruises (Asia) Pte Ltd, akan membuka laluan baharu untuk kapal persiarannya, Spectrum of the Sea ke Thailand dan Vietnam menjelang Oktober ini dan Januari tahun depan.
Kapal yang berlayar dari Singapura tersebut kini hanya mempunyai laluan ke Malaysia iaitu ke Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang sejak beroperasi semula kira-kira dua bulan lalu.
Naib Presiden dan Pengarah Urusan Royal Carribbean International, Asia Pasifik, Angie Stephen berkata, kapal persiaran terbaharu dan terbesar di Asia tersebut optimis dengan pasaran pelancongan kapal persiaran hingga mendorong mereka membuka laluan baharu tersebut.
Beliau berkata, laluan ke Vietnam pada tahun depan adalah pelayaran lebih panjang berbanding tiga dan empat malam yang ditawarkan ketika ini.
“Kami menyaksikan tempahan yang memberangsangkan dengan pelancong datang dari pelbagai negara bukan sahaja di Singapura, malah Malaysia, Indonesia, India dan sebagainya.
“Ketika ini, 30 peratus tetamu kami adalah dari luar Singapura dan Malaysia,” katanya di ketika ditemui pada lawatan media ke kapal tersebut di Pelabuhan Klang, Jumaat lalu.
Sementara itu, beliau berkata, kapal yang dibina di Jerman bernilai AS$1.25 bilion (RM5.57 bilion) dan memulakan pelayaran pada 2019, membawa 3,000 tetamu berlayar bersamanya.
Berdasarkan perkembangan yang positif, pihaknya optimis untuk mencapai 100 peratus tetamu iaitu seramai kira-kira 5,000 orang menjelang akhir tahun ini. – UTUSAN










