LONDON: Elon Musk menyatakan bahawa beliau akan membeli kelab Manchester United Plc,namun tidak memberitakan sebarang butiran lanjut.
Beliau memaklumkan perkara itu menerusi tweet terbaharunya.
Musk mempunyai sejarah mengeluarkan kenyataan tidak jelas (meragukan) di Twitter, justeru tidak dapat dipastikan sama ada beliau merancang untuk meneruskan rundingan bagi mendapatkan kelab bola sepak Inggeris itu atau sebaliknya.
“Saya membeli Manchester United, selamat datang,” kata Musk dalam tweetnya. Pasukan itu kini dikawal oleh keluarga Amerika, Glazer. Keluarga Glazer mahupun Musk tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk sebarang komen.
Akhbar British, The Daily Mirror melaporkan tahun lalu bahawa Glazers bersedia untuk menjual kelab berkenaan tetapi hanya jika mereka ditawarkan melebihi 4 bilion pound (AS$4.84 bilion/RM21.61 bilion).
Musk kini cuba untuk membatalkan perjanjian pembelian syarikat media sosial, Twitter berjumlah AS$44 bilion (RM196.41 bilion), tindakan yang telah membawanya ke mahkamah.
Manchester United merupakan satu daripada kelab bola sepak yang mempunyai penyokong terbaik di dunia. Pasukan itu telah menjadi juara England sebanyak 20 kali, selain beberapa gelaran besar lain termasuk kejuaraan Eropah.
Kelab bola sepak itu mempunyai permodalan pasaran sebanyak AS$2.08 bilion (RM9.29 bilion), setakat penutupan pasaran saham pada Selasa.
Peminat Manchester United dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah memprotes Glazers, yang membeli kelab itu pada 2005 dengan harga 790 juta pound (AS$955.51 juta/RM13.19 bilion), disebabkan prestasi kurang memberangsangkan.
Malah, sesetengah peminat menggesa Musk untuk membeli Manchester United berbanding Twitter.
Musk mempunyai sejarah mengeluarkan kenyataan yang tidak konsisten, sehingga kadangkala sukar untuk mengetahui sama ada beliau bergurau atau sebaliknya.
Beliau mempunyai banyak impian termasuk `menjajah’ planet Marikh, mencipta ekonomi tenaga lestari baharu, membina syarikat kereta paling berharga di dunia iaitu Tesla, SpaceX dan firma pembuat terowong, Boring Company.
Forbes menganggarkan kekayaan Musk berjumlah AS$270 bilion (RM1.21 trilion). – AGENSI











