Peniaga bergelut hadapi kenaikan kos

Peniaga bergelut hadapi kenaikan kos

KENAIKAN kos barangan import juga menyebabkan kenaikan harga makanan dalam negara dengan purata sebanyak 13.2 peratus tahun ke tahun. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebahagian besar peniaga atau perusahaan sedang menghadapi kemelut kenaikan kos berikutan keadaan ringgit yang tidak stabil, menurut Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Presidennya, Abdul Halim Husin berkata, pada tahun ini, kadar tukaran mata wang antara ringgit dan dolar Amerika Syarikat (AS) semakin lemah, sekali gus menyebabkan harga barangan import seperti makanan dijangka melambung.

“Import makanan kita sudah bertambah sejak 2015. Pada 2019, import makanan bernilai RM45 bilion dan kini sudah mencecah RM55 bilion.

“Kenaikan kos barangan import itu juga menyebabkan kenaikan harga makanan dalam negara dengan purata sebanyak 13.2 peratus tahun ke tahun.

“Namun, dalam sektor per­ki­langan dan galian, kesannya tidak seteruk pertanian kerana sebahagian besar import oleh syarikat antarabangsa dibuat dengan mata wang asing tanpa melibatkan penukaran ringgit.

“Bagaimanapun, bagi barang perkilangan yang dibeli secara terus oleh peniaga tempatan, misalnya baju dan bahan mentah oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), ringgit terpaksa ditukar kepada mata wang asing untuk urus niaga import tersebut.

“Kos pembelian bahan mentah oleh PMKS melambung kerana mereka tidak dibenarkan me­nyimpan mata wang asing. Ini berbeza dengan syarikat pengeksport yang boleh menggunakan simpanan mata wang asing mereka.

“Bagi kartel yang memonopoli barang import tertentu seperti kertas dan lain-lain, mereka akan menggunakan kelemahan ringgit itu sebagai alasan untuk mengaut keuntungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Chin Chee Seong berkata, tidak dinafikan ringgit yang lemah memberi impak kepada PKS, namun impaknya tidak seteruk yang dihadapi oleh kilang-kilang pembuatan kerana kos import dan pengangkutan yang meningkat.

“Bagi saya, ringgit yang lemah tidak memberi kesan yang teruk kepada PKS kerana tidak banyak PKS yang membuat eksport.

“Malaysia bernasib baik kerana walaupun ringgit jatuh berban­ding dolar AS, ia tidak seteruk seperti negara lain. Keadaan itu masih boleh dikawal.

“Namun, yang memberi impak kepada PKS ialah kenaikan harga barangan dan makanan yang turut memberi kesan kepada pengguna sekali gus menyebabkan pengguna kurang berbelanja. Jika pengguna kurang berbelanja, sudah tentu perniagaan akan terkesan,” katanya.

Mengulas isu gangguan bekalan elektrik baru-baru ini, Chin Chee memberitahu, gangguan itu sudah tentu menimbulkan banyak masalah yang tidak diingini terutama kepada perkhidmatan runcit.

Ujarnya, perkara itu juga memberi kesan kepada banyak pelanggan di seluruh negara.

Pihaknya berharap Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh mengelak­kan perkara itu berulang serta menambah baik perkhidmatan pelanggan mereka.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan kekal lemah berbanding dolar pada 4.4505/4530 berban­ding kelmarin 4.4500/4505.

Ringgit juga terus melemah berbanding dolar Singapura apabila didagangkan pada 3.2223/2335 daripada 3.2246/2276. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×