MISC, rakan konsortium dapat kontrak QatarEnergy

MISC, rakan konsortium dapat kontrak QatarEnergy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MISC Berhad (MISC) melalui anak syarikat milik penuhnya, Portovenere dan Lerici (Labuan) Pte Ltd (PLL), bersama rakan konsortiumnya, Nippon Yusen Kabushiki Kaisha (NYK), Kawasaki Kisen Kaisha, Ltd. (K-Line) dan China LNG Shipping (Holdings) Limited (CLNG), dianugerahkan kontrak piagam perkapalan gas asli cecair (LNG) oleh QatarEnergy.

Kontrak itu adalah untuk tujuh kapal pembawa LNG baharu yang akan dibina oleh Hyundai Heavy Industries Co., Ltd.

QatarEnergy adalah antara pengeluar LNG terbesar di dunia dan setelah siap kelak, tujuh kapal baharu tersebut akan memenuhi keperluan Qatar­Energy dalam pengangkutan LNG ke pelbagai negara di seluruh dunia.

Kapal LNG itu akan dilengkapi dengan teknologi kecekapan eko seperti enjin X-DF 2.1 dengan Sistem Kawalan Pintar oleh Sistem Kitar Semula Ekzos (iCER) dan Sistem Pelinciran Udara yang akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Datuk Yee Yang Chien berkata, MISC berbangga menjadi sebahagian daripada kerjasama multinasional berkenaan dan berkesempatan menggabungkan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran dalam pengangkutan LNG yang selamat, cekap dan boleh dipercayai untuk menyokong aspirasi Qatar­Energy.

“Kami terus komited ke arah mempromosikan masa depan yang mampan untuk industri LNG dan kami percaya bahawa perkongsian strategik dan kerjasama kekal sebagai kunci bagi mengekalkan pertumbuhan dan kejayaan industri dalam jangka panjang seterusnya memenuhi keperluan berkaitan tenaga pelanggan kami di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan.

MISC merupakan salah satu pemilik-pengendali tunggal terbesar kapal tangki LNG di dunia dengan reputasi tinggi untuk kecemerlangan operasi keseluruhan, kebolehpercayaan, keselamatan dan hantaran kargo tepat masa.

Buat masa ini, kapal Gas Assets & Solutions (GAS) terdiri daripada 30 syarikat penghantaran LNG, enam Pembawa Etana Besar (VLEC) dan dua Unit Penyimpanan Terapung (FSU) LNG dengan gabungan kapasiti tan berat mati (dwt) melebihi dua juta tan.

Sementara itu, dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, MISC memaklumkan, pihaknya bersetuju dengan terma utama untuk konsortium dan setiap ahli konsortium akan mempunyai kepentingan ekuiti yang sama sebanyak 25 peratus dalam setiap LNGC yang dianugerahkan.

Menurut MISC, kumpulan akan memeterai perjanjian pemegang saham dengan konsortium itu melalui anak syarikat milik penuh MISC Portovenere dan Lerici (Labuan) Private Ltd (PLL).

“Syarikat usaha sama akan ditubuhkan untuk menguruskan operasi komersial LNGC dan Eaglestar Shipmanagement GAS (S) Pte Ltd, dan anak syarikat milik penuh tidak langsung syarikat itu akan menyediakan perkhidmatan pengurusan kapal untuk sebahagian daripada projek ini. ,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN