MATTA Fair sasar 25,000 pengunjung

MATTA Fair sasar 25,000 pengunjung

MAJLIS pelancaran kerjasama MATTA dengan MAG dalam menjayakan MATTA Fair 2022 di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyasarkan sebanyak 25,000 pengunjung untuk pameran MATTA yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 September ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Jawatankuasa Pemantauan MATTA Fair September 2022, Nigel Wong berkata, MATTA Fair pertama yang diadakan selepas pandemik iaitu pada April lalu telah menerima sambutan yang baik.

“Kami telah menerima sebanyak 21,000 pengunjung pada waktu itu. Kini, memandangkan sempadan telah dibuka dan sekatan telah dimansuhkan, kami menyasarkan untuk menerima kira-kira 25,000 pengunjung untuk pameran pada hujung minggu ini.

“Kami juga menjangkakan jualan akan bertambah baik memandangkan trend sekarang menunjukkan lebih ramai orang ingin melakukan perjalanan di dalam dan luar negara.

“Walaupun menghadapi masalah seperti peningkatan harga minyak dan ramai rakan syarikat penerbangan yang sedang mencuba untuk menghidupkan pesawat mereka untuk kembali ke udara, kami yakin orang ramai masih berminat untuk melakukan perjalanan,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sini.

Syarikat penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG) terdiri daripada Malaysia Airlines, Firefly dan MASwings merupakan syarikat penerbangan rasmi untuk MATTA Fair tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Malaysia Airlines Berhad, Lau Yin May berkata, pihaknya telah menyaksikan lonjakan permintaan yang amat baik pada MATTA Fair pada April lalu.

“Justeru, MAG menyasarkan sebanyak 100 juta tiket penerbangan akan terjual pada pameran tersebut,” katanya.

Pengunjung MATTA Fair boleh membeli pelbagai jenis pakej percutian domestik dan antarabangsa daripada lebih 150 syarikat pelancongan dan tiket penerbangan syarikat penerbangan MAG melalui ejen yang dilantik.

Malaysia Airlines akan menawarkan diskaun sehingga 45 peratus, manakala Firefly menawarkan diskaun 31 peratus untuk tambang penerbangan ke semua destinasi di Malaysia dan antarabangsa yang terpilih dalam rangkaian penerbangan Malaysia Airlines dan Firefly.

MHholidays, cabang kendalian pelancongan Malaysia Airlines juga menawarkan diskaun sehingga 40 peratus untuk penerbangan dan pakej hotel tiga hari dua malam bermula daripada RM362 untuk percutian domestik dan RM1,021 seorang untuk percutian antarabangsa empat hari tiga malam .

Pakej percutian ini boleh ditempah di laman web MHholidays dari 31 Ogos hingga 11 September 2022, untuk perjalanan segera sehingga 12 April 2023.

Selain itu, tiga syarikat penerbangan MAG akan memberikan 27 tiket untuk Peraduan Pembeli, termasuk tiket pergi balik Kelas Perniagaan ke London, Sydney dan Haneda, dan tiket Kelas Ekonomi ke Melbourne, Perth, Seoul, Osaka, Denpasar, Singapura, Kuching, Kota Kinabalu dan Langkawi (satu tiket pergi balik untuk destinasi masing-masing).

Sementara itu, Firefly dan MASwings masing-masing menawarkan lima dan 10 tiket pergi balik ke destinasi pilihan pemenang dalam rangkaian mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN