PETALING JAYA: Malaysia akan meningkatkan pengeluaran minyak mentah bulanannya kepada 595,000 tong pada September 2022 daripada 594,000 tong pada Ogos 2021, menurut Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Ia berlaku ketika pelaburan yang tidak mencukupi dalam sektor minyak dan gas huluan memberi kesan terhadap ketersediaan bekalan minyak mentah untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi komoditi itu selepas 2023.
OPEC dalam kenyataan sempena Mesyuarat Menteri-menteri OPEC dan bukan OPEC ke-31 berkata, negara-negara yang mengambil bahagian memutuskan untuk ‘menyesuaikan’ ke atas tahap pengeluaran (kolektif) bagi negara-negara peserta OPEC dan bukan OPEC sebanyak 0.1 mb/d (100,000 tong/hari) untuk September 2022.
Menurutnya, mesyuarat itu mencatatkan asas pasaran minyak yang dinamik dan berkembang pesat, yang memerlukan penilaian berterusan keadaan pasaran.
“Ketersediaan kapasiti pengeluaran minyak berlebihan yang sangat terhad memerlukan penggunaan kapasiti sedemikian dengan sangat berhati-hati sebagai tindak balas kepada gangguan bekalan minyak yang teruk.
“Kekurangan pelaburan kronik dalam sektor minyak juga telah mengurangkan kapasiti berlebihan di sepanjang rantaian nilai huluan, tengah dan hiliran,” katanya.
Mesyuarat itu menekankan kebimbangan khusus bahawa pelaburan yang tidak mencukupi ke dalam sektor huluan akan memberi kesan kepada ketersediaan bekalan yang mencukupi tepat pada masanya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat selepas 2023 daripada negara bukan pengeluar minyak OPEC yang tidak mengambil bahagian, beberapa negara anggota OPEC dan yang tidak mengambil bahagian.
“Ia (mesyuarat) menyatakan bahawa data awal untuk paras stok minyak komersil Organisasi untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) berada pada 2,712 mb (2.71 bilion tong) pada Jun 2022, iaitu 163 mb (163 juta tong) lebih rendah daripada tempoh yang sama tahun lalu, 236 mb (236 juta tong) di bawah purata 2015-2019, dengan stok minyak kecemasan telah mencapai paras terendah dalam tempoh lebih 30 tahun.
“Mesyuarat itu juga menyatakan yang Pengisytiharan Pematuhan Kerjasama telah purata 130 peratus sejak Mei 2020, disokong oleh sumbangan sukarela beberapa negara yang mengambil bahagian,” kata OPEC.
Menurut laman web OPEC, sebanyak 13 negara anggotanya ialah Algeria, Angola, Congo, Equatorial Guinea, Gabon, Iran, Iraq, Kuwait, Libya, Nigeria, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Venezuela.
Laporan dalam talian menunjukkan bahawa Malaysia adalah antara 10 negara yang menyertai OPEC pada 2016 untuk membentuk kumpulan yang dikenali sebagai negara bukan peserta OPEC, termasuk Azerbaijan, Bahrain, Brunei, Kazakhstan, Mexico, Oman, Rusia, Sudan Selatan dan Sudan.
Secara kolektif, sebanyak 13 negara anggota OPEC dan 10 negara bukan peserta OPEC dikenali sebagai OPEC+.
Bagaimanapun, syarikat minyak nasional Malaysia, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) belum mengeluarkan kenyataan sebagai reaksi kepada kenyataan OPEC sempena Mesyuarat Menteri-menteri OPEC dan bukan OPEC ke-31. – UTUSAN









