PETALING JAYA: Malaysia komited dalam menjalinkan kerjasama di peringkat antarabangsa terutama melalui platform Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Malaysia kata beliau, turut mengesyorkan agar penglibatan dan perkongsian pandangan diadakan secara berterusan di kalangan ahli ekonomi APEC, terutamanya dalam bidang digitalisasi, penggunaan teknologi dan pelaburan pelancongan yang
mampan.
“Perkara ini penting bagi memastikan industri pelancongan akan lebih kukuh dan lebih berdaya tahan bagi menghadapi apa jua cabaran serta rintangan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri APEC bagi Pelancongan ke-11 (TMM11) di Bangkok, Thailand.
Nancy yang mewakili negara ke mesyuarat itu turut berkongsi tentang pelaksanaan tindakan strategik Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan 2.0 yang terdiri daripada lima tonggak strategi ke arah pemulihan dan ketahanan untuk tempoh jangka sederhana sehingga jangka panjang iaitu;
i. Menyokong perniagaan pelancongan dengan langkah pemulihan;
ii. Memulihkan keyakinan pelancong dan kelancaran perjalanan intraregional dan antarabangsa;
iii. Mencipta semula produk dan perkhidmatan pelancongan untuk memacu daya saing;
iv. Menjajarkan pelancongan dengan elemen kemampanan dan keterangkuman; dan
v. Mengukuhkan pemulihan dengan ketahanan jangka panjang dan kesediaan berhadapan dengan krisis.
Nancy berkata, Malaysia menjangkakan, fasa pemulihan pelancongan mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun lagi untuk pulih.
Malaysia kata beliau, mengakui bahawa sokongan secara bersasar adalah amat diperlukan bagi memastikan kelangsungan dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan komuniti yang berkaitan industri pelancongan dapat dipulihkan segera.
Katanya, tahun lalu, Malaysia telah membelanjakan sebanyak AS$14.6 juta (RM61 juta) bantuan kewangan untuk dimanfaatkan oleh 29,286 penggiat industri pelancongan.
“Komitmen itu diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak AS$20 juta (RM85 juta) kepada pengendali pelancongan terdiri daripada syarikat pelancongan dan pengembaraan, pengendali pusat spa dan kesihatan, pemilik homestay dan pemandu pelancong bagi membantu mengurangkan beban mereka,” katanya.
Menurut Nancy, Malaysia menduduki tempat ke-2 dalam The Economist’s 2022 Travel-Ready Index for Asia setelah diiktiraf sebagai salah sebuah negara tertinggi di dunia yang mencatat kadar tertinggi dalam pemvaksinan.
Malah, dalam masa beberapa bulan sahaja selepas pembukaan semula sempadan negara, Malaysia merekodkan jumlah lebih daripada 1 juta ketibaan pelancong luar negara.
“Kejayaan itu membolehkan Malaysia menetap semula sasaran baharu ketibaan pelancong asing kepada 4.5 juta tahun ini, dan ia akan dikaji semula setiap tiga bulan dengan mengambil kira perkembangan semasa terutamanya apabila lebih banyak negara mula melonggarkan sekatan perjalanan keluar sempadan negara mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjemput dan mengalu-alukan semua delegasi untuk menyertai World Tourism Conference 2022 (WTC 2022) yang merupakan anjuran bersama Malaysia melalui kementerian beliau (MOTAC) dengan
Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO).
Edisi tahun ini akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, bermula 28 hingga 30 November 2022. Bertemakan ‘Tourism Futures Reimagined’, persidangan itu nanti akan menjadi platform bagi membincangkan strategi yang dapat memacu ke arah pemulihan dan ketahanan pelancongan dunia pasca-pandemik. – UTUSAN










