WASHINGTON: Lebih ramai rakyat Amerika Syarikat (AS) bergantung kepada kad kredit dalam tempoh beberapa bulan akan datang untuk menampung kenaikan kos hidup, menurut Biro Perlindungan Kewangan Pengguna (CFPB).
Jelasnya, apa yang membimbangkan, pinjaman kad kredit datang bersama kos iaitu dalam bentuk faedah.
“Dengan kadar faedah pada hari ini, seseorang yang mempunyai baki kad kredit AS$5,000, perlu membayar tambahan faedah sebanyak AS$1,000 dalam tempoh setahun,” katanya, lapor CNN Business.
Menurut biro berkenaan, lebih 175 juta rakyat AS memiliki sekurang-kurangnya satu kad kredit dengan separuh daripadanya adalah akaun aktif melibatkan pindahan baki.
Tambahnya, kadar faedah kad kredit telah meningkat walaupun terdapat kumpulan pemegang kad subprima yang lebih berisiko.
Tahun lalu, CFPB mendapati, kadar utama dan kadar peratusan purata tahunan (APR) kad kredit berada pada rekod tertinggi.
“Sebelum kemelesetan, kadar caj dan margin kad kredit digunakan bergerak seiring. Bagaimanapun, apabila ekonomi pulih, syarikat kad kredit tidak menurunkan caj mereka dengan sewajarnya, walaupun risiko mungkir kelihatan lebih rendah.
“Semasa pandemik Covid-19, margin pengeluar dan kadar caj lebih jauh menyimpang,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap Persatuan Bank Amerika (ABA) menyangkal kenyataan CFPB dengan menyatakan, rekod menunjukkan pemegang kad kredit membayar penuh baki hutang mereka dalam beberapa bulan kebelakangan ini, untuk mengelak dikenakan caj faedah. – AGENSI










