KDNK suku kedua lebih tinggi dari AS, Singapura dan negara serantau - Utusan Malaysia

KDNK suku kedua lebih tinggi dari AS, Singapura dan negara serantau

EKONOMI Malaysia lebih kukuh apabila berkembang kepada 8.9 peratus bagi suku kedua 2022. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi negara terus mengekalkan momentum pertumbuhan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua mencapai 8.9 peratus, lebih tinggi daripada beberapa negara membangun dan serantau yang lain.

Malaysia mengatasi China yang mencapai pertumbuhan sebanyak 0.4 peratus, Amerika Syarikat (1.6 peratus) Kesatuan Eropah (4.0 peratus) Korea Selatan (2.9 peratus), Singapura (4.4 peratus), Indonesia (5.4 peratus) dan Filipina (7.4 peratus) pada suku yang sama.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perkembangan tersebut menjadikan kerajaan optimis dapat mencapai unjuran KDNK sebanyak 5.3 peratus hingga 6.3 peratus bagi keseluruhan tahun.

“Perkembangan yang memberangsangkan pada suku kedua disebabkan beberapa perkara termasuk dasar fiskal yang berkembang melalui Bajet 2022, limpahan positif daripada bantuan dan pakej rangsangan ekonomi dan Bajet 2021, serta dasar monetari yang kekal akomodatif.

“Ditambah dengan pembukaan semula sepenuhnya ekonomi dan sempadan antarabangsa telah mendorong kepada pertumbuhan 18.3 peratus dalam penggunaan swasta berbanding 5.5 peratus pada suku pertama.

“Pertumbuhan pada suku ini turut disokong oleh pemulihan berterusan pasaran buruh dan peningkatan permintaan dalam dan luar negara khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan,”  katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata, pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga dijangka kekal kukuh, dipacu prestasi yang memberangsangkan dalam perdagangan antarabangsa dan pelancongan.

Bagaimanapun, Zafrul memberitahu, kerajaan tetap berhati-hati untuk separuh kedua 2022 kerana prospek ekonomi masih tertakluk kepada risiko pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi global.

Menurutnya, perkara tersebut disebabkan oleh terutamanya oleh konflik Russia-Ukraine yang berpanjangan, serta kelembapan ekonomi China berikutan pelaksanaan langkah-langkah pembendungan Covid-19 yang ketat.

“Kementerian kini sedang menyediakan Bajet 2023 melalui perundingan dan perbincangan dengan pelbagai sektor ekonomi dan kerajaan negeri bagi memastikan bajet tersebut memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia. 

“Antara keutamaan termasuk pengurusan subsidi yang lebih mampan, pembaharuan ekonomi dan pengukuhan daya tahan negara terhadap kejutan masa depan. Berikutan cabaran serius ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim, inisiatif yang berkaitan dengan kemampanan juga akan dipertimbangkan secara lebih meluas.

Seiring dengan momentum pemulihan ekonomi pasca Covid-19, Bajet 2023 akan terus mengutamakan kebajikan rakyat, khususnya dari segi peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya