KDNK separuh kedua 2022 hingga 2023 dipacu perbelanjaan sektor swasta - Utusan Malaysia

KDNK separuh kedua 2022 hingga 2023 dipacu perbelanjaan sektor swasta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi pada separuh kedua tahun ini dan 2023 akan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta terutamanya sektor pelancongan yang kembali normal seperti sebelum Covid-19.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, pihaknya optimis  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus bagi keseluruhan 2022, setelah mengambil kira pertumbuhan global yang perlahan.

Katanya, aktiviti pelaburan akan menerima manfaat daripada projek-projek pelaburan beberapa tahun seperti MyDigital, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

“Rantaian bekalan juga dijangka semakin mudah apabila gangguan berkaitan Covid-19 berkurangan dan perdagangan global yang perlahan mengurangkan beberapa tekanan pada masa hadapan.

“Ini akan mengimbangi jangkaan kesederhanaan dalam pertumbuhan global,” katanya pada sidang akhbar pengumuman KDNK suku kedua 2022 di Sasana Kijang, di sini semalam.

Sementara itu, beliau memberitahu, ekonomi domestik akan didorong oleh pasaran buruh yang bertambah baik dan telah menunjukkan peningkatan berterusan seiring dengan aktiviti ekonomi yang lebih kukuh.

Menurutnya, pertumbuhan yang lebih baik pada suku kedua disokong pertumbuhan pengambilan pekerja yang mantap.

“Pengangguran jatuh dengan ketar, dan pengambilan semula pekerja yang diberhentikan kekal kukuh. Data frekuensi tinggi daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)  menunjukkan penurunan berterusan dalam pemberhentian dan aktiviti pengambilan pekerja yang agak kukuh pada suku kedua.

“Pada asas tahun ke tahun, gaji nominal sektor swasta bertambah baik sejajar dengan aktiviti ekonomi dengan mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 7.8 peratus pada suku kedua. 

“Ini sebahagiannya disokong oleh kenaikan gaji minimum dan didorong oleh pengembangan dalam kedua-dua gaji sektor perkhidmatan dan pembuatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya