PETALING JAYA: Permintaan bagi kenderaan Perodua masih kukuh dengan sebanyak 24,265 tempahan diterima pada Julai walaupun cukai jualan bagi kenderaan baharu diperkenalkan semula pada 1 Julai 2022.
Jualan Januari hingga Julai juga amat memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 48.7 peratus kepada 145,689 unit berbanding 97,945 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jualan.
“Faktor pertama adalah permintaan yang tinggi bagi kenderaan kami kerana pembeli ingin mendapat harga pelepasan cukai jualan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan dan faktor kedua adalah kesan penutupan hampir kesemua sektor pada Jun hingga pertengahan Ogos 2021 untuk membendung wabak Covid-19 ketika itu.
“Bilangan tempahan kenderaan baharu, walaupun tidak setinggi prestasi Januari hingga Jun tahun ini, adalah lebih baik daripada apa yang dijangkakan sekali gus membuktikan industri automotif masih mempunyai potensi yang cerah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, Perodua Alza Serba Baharu juga telah menerima tempahan yang tinggi dengan sebanyak 39,000 unit terjual sejak tempahan dibuka selain menerima sebanyak 9,000 unit tempahan pada Julai.
Ujarnya, ia melebihi jangkaan awal yang menyasarkan sebanyak 3,000 unit terjual dalam sebulan.
“Walaupun angka jualan kami sehingga kini kukuh, namun masih lagi terdapat beberapa isu yang belum selesai seperti kekurangan tenaga kerja dan bekalan cip semikonduktor yang masih belum stabil.
“Akibat daripada isu-isu ini, jualan bulanan kami merosot sebanyak 13.3 peratus kepada 18,346 pada Julai berbanding 21,164 kenderaan yang dijual Jun lalu,” ujarnya.
Zainal Abidin berkata, pihaknya sedang bekerja rapat dengan kerajaan untuk mengatasi isu kekurangan pekerja dalam sektor automotif pada awal Ogos ini agar Perodua dapat beroperasi sepenuhnya.
“Dalam isu kekurangan bekalan cip semikonduktor pula, kami telah mendapat bekalan secukupnya untuk kami mengeluarkan dan mendaftar lebih daripada 247,800 unit yang kami sasarkan pada awal tahun ini,” katanya.
Tambahnya, jumlah jualan industri automotif tahun ini juga berpotensi untuk melebihi sasaran 630,000 unit yang telah diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini.
“Hampir kesemua jenama kenderaan di negara ini menerima tempahan yang banyak kerana para pelanggan ingin mendapat initiatif pengecualian cukai jualan dan saya percaya industri automotif dapat melepasi unjuran tambahan 30,000 unit yang diumumkan oleh MAA,” ujarnya. – UTUSAN










