PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi menjangkakan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan berlegar sekitar 1,490 hingga 1,510 sepanjang minggu ini sementara menunggu pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku kedua 2022 yang diumumkan 12 Ogos ini.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, begitu juga dengan prestasi ringgit yang tidak akan melemah dengan teruk berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
“Tidak akan berlaku situasi di mana ringgit melemah dengan teruk berbanding dolar AS tetapi ia akan mula mengukuh secara beransur-ansur kerana prestasi ringgit berbanding mata wang lain selain dolar AS sudah mula menunjukkan pengukuhan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, sentimen pasaran masih diselubungi prestasi semalaman yang bercampur-campur ketika Wall Street ditutup ekoran kebimbangan Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah seterusnya susulan pengumuman data pekerjaan AS yang lebih kukuh daripada jangkaan pada Jumaat lalu.
Katanya, walaupun Purata Indeks Dow Jones meningkat sebanyak 77 mata, Nasdaq turun 63 mata apabila hasil 10 tahun AS melonjak kepada 2.83 peratus.
“Memandangkan ketidaktentuan terhadap ekonomi AS yang berlarutan, kami berpendapat sentimen akan lebih berhati-hati dan oleh itu menjangkakan indeks penanda aras berada dalam julat 1,490 hingga 1,505 hari ini,” katanya.
Pada pagi semalam, indeks penanda aras FBM KLCI susut 0.3 mata kepada 1,501.25 daripada 1,501.55 pada penutup Jumaat lalu.
Setakat 5 petang semalam, indeks penanda aras FBM KLCI susut 5.52 mata kepada 1,496.03.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 481 berbanding 275, manakala 410 kaunter tidak berubah dan 1,092 kaunter lagi tidak diniagakan.
Bagi ringgit pula, pada pagi semalam, mata wang tempatan merosot kepada 4.4580/4610 berbanding dolar AS daripada 4.4490/4520 pada penutup Jumaat lalu. Setakat 5 petang semalam, ringgit merosot kepada 4.4539/4580.
Namun, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan menambah nilai berbanding euro kepada 4.5340/5452 daripada 4.5513/5544 pada Jumaat dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2952/36 daripada 3.3459/3484 minggu lepas.
Nilai ringgit turut mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2261/2325 daripada penutup Jumaat pada 3.2330/2355 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3768/3899 daripada 5.3989/4025 sebelum ini. – UTUSAN










