PETALING JAYA: Bintai Kinden Corporation Berhad (Bintai Kinden) mengumumkan bahawa anak syarikatnya, Bintai Energy Sdn. Bhd. (Bintai Energy) telah dilantik oleh syarikat Korea Selatan, World Standard Materisal Co. Ltd. (WSM) untuk menjual dan memasarkan produk perpaipan dan pemasangan kepada industri kimia dan petrokimia.
Produk terbabit ialah bebibir, plat, tiup, paip, gegelung dan kelengkapan untuk industri kimia dan petrokimia.
Bintai Kinden memiliki 51 peratus kepentingan dalam Bintai Energy menerusi subsidiari milik penuhnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn. Bhd.
WSM ditubuhkan pada 1999 di Busan, Korea Selatan. Syarikat itu terlibat dalam pembuatan dan perdagangan produk keluli industri.
Syarikat itu membekalkan produk termasuk minyak dan gas, penjanaan kuasa, pembinaan kapal, industri kimia dan petrokimia kepada pelbagai industri di peringkat antarabangsa.
“Sebagai sebahagian daripada pelantikan, WSM akan bekerjasama dengan Bintai Energy untuk mencari peluang serta menyediakan sokongan harga teknikal dan kompetitif yang diperlukan bagi produk manakala Bintai Energy akan bertanggungjawab untuk promosi produk WSM. Kerjasama itu adalah untuk tempoh tiga tahun,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Mengulas perkara itu, Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azeral berkata, kerjasama dengan WSM membolehkan syarikat meluaskan penawaran produk kepada industri kimia dan petrokimia yang penting untuk peranan mereka dalam rantaian nilai industri lain seperti plastik dan automotif.
“Kami gembira kerana berpeluang bekerjasama dengan WSM, yang mana usaha penyelidikan dan pembangunannya telah diberi ganjaran dengan bebibir, paip dan kelengkapan berkualiti yang digunakan dalam industri kimia dan petrokimia. Kami berharap dapat bekerjasama untuk mengembangkan pasaran produk WSM di Malaysia,” katanya.
Presiden WSM, Ahn Byung Hwan pula berkata, pihaknya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Bintai Energy bagi membawa produk mereka ke pasaran Malaysia.
“Kami percaya bahawa secara bersama, kedua-dua pihak akan dapat memasuki industri kimia dan petrokimia,” katanya. – UTUSAN









