PETALING JAYA: Inflasi harga makanan domestik kekal tinggi di seluruh dunia, menurut Bank Dunia.
Dalam laporan terkini mengenai keselamatan makanan, Bank Dunia berkata, maklumat pada Mac dan Jun lalu menunjukkan inflasi tinggi di hampir semua negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Malah jelasnya, hampir semua negara terbabit bakal menyaksikan paras inflasi mereka melebihi 5 peratus dengan banyak negara mengalami inflasi dua digit.
“Bahagian negara berpendapatan tinggi dengan inflasi tinggi juga meningkat secara mendadak, dengan kira-kira 78.6 peratus mengalami inflasi harga makanan yang tinggi,” katanya.
Menurut Tinjauan Pasaran Komoditi April 2022 Bank Dunia, perang di Ukraine telah mengubah corak perdagangan, pengeluaran dan penggunaan komoditi global, dengan cara yang akan mengekalkan harga pada tahap yang tinggi dalam sejarah sehingga penghujung 2024, memburukkan lagi ketidakamanan makanan dan inflasi.
Bank Dunia berkata, harga makanan sudah pun tinggi sebelum ini, dan perang mendorong harga menjadi lebih tinggi.
“Komoditi yang paling terjejas adalah gandum, jagung, minyak makan dan baja.
“Pasaran komoditi global pula menghadapi risiko terbalik melalui pengurangan bekalan bijirin, harga tenaga dan baja yang lebih tinggi serta gangguan perdagangan akibat penutupan pelabuhan utama,” katanya.
Menurut laporan State of Food Insecurity in the World 2022, jumlah orang yang terjejas akibat kelaparan meningkat kepada 828 juta pada 2021, peningkatan kira-kira 46 juta sejak 2020, dan 150 juta sejak 2019, iaitu sebelum wabak Covid-19 melanda.
Dalam pada itu, Bank Dunia berkata, magnitud lonjakan inflasi telah mengejutkan bank-bank pusat dan pasaran, selain masih terdapat ketidakpastian yang ketara tentang prospek inflasi.
“Ada kemungkinan inflasi turun lebih cepat daripada yang dibayangkan oleh bank pusat, terutamanya jika gangguan rantaian bekalan berkurangan dan pengetatan dasar global mengakibatkan penurunan harga tenaga dan barangan dengan pantas.
“Walau bagaimanapun, risiko inflasi kelihatan sangat condong ke arah atas. Terdapat risiko besar bahawa inflasi yang tinggi akan berakar umbi,” katanya. – UTUSAN










