Subsidi bersasar dalam Bajet 2023

Bajet 2023: Mekanisme subsidi bersasar, perbelanjaan meningkat RM77.7 bilion

MOHD. Shahar Abdullah (tengah) dalam majlis Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam. – Utusan/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan mekanisme subsidi dengan lebih bersasar dalam Bajet 2023, supaya manfaat ditumpukan kepada golongan yang betul-betul memerlukan bantuan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, ia sebagai langkah ke hadapan untuk memastikan kesejahteraan rakyat termasuk melindungi isi rumah daripada impak penuh kenaikan harga komoditi dan makanan global.

Menurut beliau, berikutan langkah kerajaan untuk meneruskan dan menambah baik subsidi, perbelanjaan untuk bantuan dan subsidi dianggarkan meningkat kepada RM77.7 bilion berbanding dengan peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion.

Katanya, tanpa subsidi yang disediakan untuk barangan asas, dianggarkan inflasi akan mencapai 11.4 peratus.

“Bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara berterusan, fokus kerajaan pada Bajet 2023 adalah tertumpu kepada inisiatif-inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Ini terutamanya melalui peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial, daya saing perniagaan dan rantaian nilai berkaitan serta memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan masa hadapan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Konsultasi Bajet 2023, di sini semalam.

Sejumlah 242 organisasi termasuk persatuan, dewan perniagaan, akademia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan 1,935 memorandum yang merangkumi empat komponen utama (rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan) bagi penyediaan Bajet 2023.

Bajet 2023 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober ini bertemakan ‘Memperkukuh Pemulihan dan Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia’.

Selaras dengan tema ini, kata Mohd. Shahar, Bajet 2023 dirancang dan digubal berdasarkan lima aspek utama iaitu:

Pertama: Memperkukuh momentum pemulihan ekonomi dari segi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), aspek pekerjaan dan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

Kedua: Meningkatkan daya saing negara dalam norma baharu pasca Covid-19 dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti melalui penerapan teknologi, automasi dan pendigitalan serta menggalakkan inovasi baharu untuk pertumbuhan ekonomi secara lestari.

Ketiga: Memperkukuh daya tahan ekonomi, kedudukan fiskal yang mampan serta pemberian subsidi dan bantuan secara lebih bersasar.

Keempat: Melindungi kesejahteraan rakyat melalui program perlindungan sosial yang memberi tumpuan berterusan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, pendidikan yang berkualiti, keselamatan awam dan persekitaran hidup yang lebih selesa.

Kelima: Menggalakkan pembangunan yang inklusif dan mampan selaras dengan sasaran yang digariskan dalam Matlamat Pembangunanan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata, inisiatif pembaharuan fiskal bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan serta mewujudkan ruang fiskal dan fleksibiliti bagi melaksanakan langkah counter-cyclical untuk terus menyokong ekonomi dan mengukuhkan daya tahan negara untuk berdepan dengan cabaran masa hadapan.

Jelas beliau, negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 3.1 peratus pada tahun 2021 berbanding penguncupan 5.5 peratus pada tahun 2020.

Malahan, bagi tahun 2022 ekonomi negara menunjukkan momentum pemulihan yang kukuh dengan pertumbuhan 6.9 peratus pada separuh pertama 2022 disokong peningkatan permintaan dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh.

“Perkembangan ini turut disumbang sokongan dasar kerajaan yang konsisten, terutamanya melalui inisiatif di bawah Bajet 2022 yang mengembang dengan langkah-langkah yang giat dilaksanakan sejak awal tahun.

“Sehubungan ini, kerajaan yakin ekonomi negara akan mencapai unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus bagi tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan dan konsultasi Bajet 2023 dan jelajah Bajet 2023 di peringkat negeri masih diteruskan selepas dibuat di Johor, Kelantan dan Terengganu di samping sesi libat urus yang dilaksanakan di Putrajaya untuk mendapatkan cadangan dan aspirasi daripada rakyat dan industri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN