Arab Saudi muktamad tawaran pelaburan bernilai AS$925j

Arab Saudi muktamad tawaran pelaburan bernilai AS$925j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Arab Saudi memuktamadkan sebanyak 49 tawaran pelaburan bernilai lebih AS$925 juta (RM4.13 bilion) pada suku kedua 2022, menurut laporan rasmi Kementerian Pelaburan.

Dalam satu kenyataan, kementerian berkenaan mendedahkan bahawa pelaburan terbabit mencakupi pelbagai sektor seperti pembuatan termaju, pembinaan dan hartanah, teknologi maklumat dan komunikasi, pelanco­ngan, hiburan dan sukan, yang akan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan.

Satu daripada tawaran utama yang dimuktamadkan ialah perjanjian berjumlah AS$133.3 juta (RM594.78 juta) antara Pihak Berkuasa Pelabuhan Saudi dan DP World untuk membina taman logistik di Pelabuhan Islam Jeddah, lapor Arab News.

Perjanjian lain ialah pusingan pembiayaan berjumlah AS$37 juta (RM165.10 juta) diketuai oleh gergasi kewangan global Mastercard ke dalam firma e-dagang Arab Saudi, HyperPay untuk mengembangkan ekosistem pembayaran digital kerajaan.

Turut dimuktamadkan ialah perjanjian strategik dengan gergasi farmaseutikal Novartis untuk meningkatkan keupayaan biofarmaseutikal Arab Saudi, pelaburan AS$50 juta (RM223.10 juta) oleh Wa’ed Ventures Aramco ke dalam fintech Saudi Wahed dan perjanjian oleh Ma’aden untuk membina loji wap berkuasa solar terbesar di dunia untuk memproses bauksit menjadi alumina.

Laporan bertajuk “Sorotan Pelaburan Q2 2022” itu menunjukkan bahawa sektor bukan minyak Arab Saudi tumbuh 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku kedua.

Menurut laporan itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar juga meningkat 11.8 peratus pada suku kedua berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jelasnya, pengeluaran perindustrian kerajaan berkembang sebanyak 24 peratus tahun ke tahun pada Mei 2022, menunjukkan pemulihan yang kuat selepas wabak dalam perniagaan dan ‘selera’ pelabur.

“Mac, April dan Mei 2022 merekodkan angka Indeks Pengeluaran Perindustrian ter­tinggi bagi semua sektor dalam tempoh tiga tahun lepas,” jelas laporan itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN