AirAsia kukuhkan operasi di Pulau Pinang

AirAsia kukuhkan operasi di Pulau Pinang

RIAD Asmat (dua, kiri) dan Ooi Chok Yan, bertukar dokumen kerjasama disaksikan oleh Yeoh Soon Hin (tengah) di George Town, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: AirAsia dijangka mengukuhkan hab operasinya di Pulau Pinang pada suku pertama tahun depan berdasarkan perkembangan ekonomi semasa serta lonjakan permintaan pelancong ke negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pada masa ini keseluruhan operasi AirAsia di Pulau Pinang telah mencecah 60 hingga 63 peratus dengan dua pesawat serta 184 penerbangan mingguan ke negeri itu dari pelbagai lokasi.

“Kami jangka operasi di Pulau Pinang akan mencecah 80 peratus pada suku pertama tahun depan dan sekarang ini kita dapat lihat AirAsia kembali secara berperingkat dari segi kakitangan, pesawat dan sebagainya.

”Pada masa ini terdapat dua pesawat yang dikhususkan untuk laluan Pulau Pinang dan kami sedang berusaha untuk menambah satu lagi pesawat agar operasi kami di Pulau Pinang dapat ditingkatkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Terdahulu, Riad mewakili AirAsia Malaysia menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan Penang Global Tourism (PGT) untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin, Ketua Pegawai Eksekutif PGT, Ooi Chok Yan dan lain-lain.

Mengulas mengenai MoU berkenaan, Riad berkata, AirAsia dan PGT menandatangani MoC untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan dan MoC itu juga dapat mencipta peluang perniagaan baharu, membangunkan kempen jualan dan pemasaran secara bersama antara kedua-dua pihak.

Katanya, MoC itu juga merangkumi kerjasama dan perkongsian komersial yang lebih besar antara syarikat penerbangan dan mengukuhkan ketersambungan penerbangan dan meningkatkan ekonomi negeri melalui pelancongan.

“Sebagai permulaan kerjasama, AirAsia akan menawarkan tambang ke Pulau Pinang daripada RM59 (semua dalam sehala) bermula 15 hingga 21 Ogos ini untuk tempoh perjalanan antara 22 Ogos 2022 hingga 18 April 2023.

”AirAsia bekerjasama PGT untuk memartabatkan lagi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini dengan 184 penerbangan mingguan ke negeri ini.

”Ini termasuk dua laluan domestik baharu yang dilancarkan baru-baru ini dari Kota Bharu dan Sibu ke Pulau Pinang serta beberapa laluan yang kembali semula selepas pasca pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya, AirAsia akan memacu pelancong domestik dan antarabangsa ke Pulau Pinang dengan tujuh laluan domestik dan enam laluan antarabangsa.

”Malah kami akan turut melanjutkan promosi pelancongan melalui Airasia Super App dengan tawaran menarik merentasi makanan AirAsia, perjalanan AirAsia, hotel, SNAP (kombo hotel + penerbangan), dan banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, Chok Yan berkata, melalui MoC itu, PGT akan melancarkan kempen dan inisiatif menarik merentasi semua pasaran utama AirAsia termasuk domestik dan antarabangsa, serta memanfaatkan berjuta-juta pengguna Airasia Super App untuk aktiviti promosi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN