PETALING JAYA: UOB Malaysia bersedia mempermudah lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Sarawak sejajar dengan usaha syarikat-syarikat antarabangsa mencari peluang melabur dalam sektor-sektor bernilai tinggi di negeri itu.
Menurut UOB Malaysia, pihaknya menjangka bahawa lebih banyak syarikat multinasional, terutamanya dari industri pembuatan, perdagangan, teknologi, makanan dan pertanian, akan melabur dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital, ekopelancongan dan agroteknologi Sarawak.
“Syarikat-syarikat ini, terutamanya syarikat multinasional dari Greater China, Korea, Jepun dan yang berpangkalan di Singapura, berminat untuk memanfaatkan infrastruktur pembuatan dan tenaga boleh diperbaharui di Sarawak yang menjimatkan kos sebagai sebahagian daripada pengembangan mereka di Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan.
Dalam usaha menghubungkan pelanggannya kepada peluang perniagaan di Sarawak, UOB Malaysia telah bekerjasama dengan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) untuk menganjurkan misi pelaburan dan perdagangan ke negeri tersebut.
Lebih 50 eksekutif tertinggi daripada pelbagai sektor perniagaan Singapura seperti tenaga, elektronik, pembuatan, perdagangan, pertanian dan pendidikan, mengambil bahagian dalam misi perdagangan empat hari itu.
Sebagai sebahagian daripada lawatan, delegasi turut mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, Sarawak antara lima destinasi pelaburan utama Malaysia.
Kata beliau, komitmen kerajaan Sarawak untuk mewujudkan persekitaran paling sesuai untuk pelaburan melalui polisi dan inisiatif yang mesra perniagaan menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk pelabur tempatan dan asing.
“Sumber semula jadi negeri dan tenaga boleh diperbaharui juga merupakan tarikan besar kepada pelabur. Di samping itu, kami menjangka kemasukan Malaysia ke dalam perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) 2 akan membuka pintu kepada lebih banyak peluang untuk syarikat melabur dan berdagang dengan perniagaan di Sarawak.
“Melangkah ke hadapan, kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyokong wawasan Premier dalam mengutamakan pembangunan tenaga hijau dalam usaha menarik pelabur asing yang ingin memajukan perniagaan mereka secara mampan,” katanya.
Tambahnya, sejak penubuhan pasukan Penasihat FDI, UOB Malaysia telah membantu lebih 3,500 syarikat dari seluruh dunia dalam usaha pengembangan mereka ke Asia, termasuk Malaysia.
“Kesalinghubungan serantau kami dan ekosistem rakan kongsi yang kukuh di seluruh ASEAN dan Greater China disokong oleh kepakaran kami dalam beberapa sektor utama yang memacu ekonomi serantau. UOB berada pada kedudukan yang baik untuk mempermudah kemasukan syarikat global ke Malaysia selain membantu syarikat Malaysia dalam usaha pengembangan serantau mereka,” katanya. – UTUSAN










