BENGALURU/NEW YORK: Elon Musk mengeluarkan respons lucu dalam akaun Twitternya berikutan laporan Twitter Inc. telah mengupah firma guaman Amerika Syarikat (AS) bagi meneruskan tindakan saman dan memaksanya menyelesaikan pengambilalihan syarikat media sosial it berjumlah AS$44 bilion.
Dalam satu entry di Twitternya, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc. dan SpaceX itu, menyiarkan wajahnya sambil ketawa dengan kapsyen menceritakan turutan satu peristiwa sejak beberapa bulan lalu.
“Mereka kata saya tidak boleh beli Twitter. Kemudian, mereka tidak akan dedahkan maklumat BOT. Sekarang, mereka nak paksa saya beli Twitter. Sekarang mereka kena dedahkan BOT
di mahkamah” katanya lapor Bloomberg.
Menurut laporan Reuters yang memetik sumber, Twitter Inc telah mengupah firma guaman Wachtell, Lipton, Rosen & Katz LLP untuk meneruskan tindakan saman ke atas Musk.
Ia berikutan tindakan beliau menamatkan perjanjian pengambilalihan itu pada Jumaat.
Musk memberi alasan, Twitter telah gagal memberikan maklumat mengenai akaun palsu di platform berkenaan. Kenyataan itu menyebabkan Pengerusi Twitter, Bret Taylor, berikrar untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau.
“Twitter merancang untuk memfailkan tuntutan mahkamah awal minggu ini di Delaware,” menurut sumber.
Twitter bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan, manakala firma guaman itu pula tidak menjawab permintaan Reuters untuk mengulas perkara tersebut di luar waktu perniagaan.
Wachtell, Lipton, Rosen & Katz adalah antara penasihat undang-undang ketika Musk merancang untuk mengambilalih Tesla pada 2018.
Dalam tweetnya sebelum ini, Musk turut memberitahu, terdapat “pembiayaan dijamin” untuk mengambil alih Tesla melibatkan perjanjian berjumlah AS$72 bilion. Beliau bagaimanapun tidak meneruskan tawaran berkenaan.
Beliau dan Tesla masing-masing membayar denda berjumlah AS$20 juta. Musk turut meletak jawatan sebagai Pengerusi Tesla untuk menyelesaikan dakwaan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS bahawa beliau menipu pelabur.
Pasukan undang-undang Twitter sedia ada termasuk Simpson Thacher & Bartlett LLP dan Wilson Sonsini Goodrich & Rosati. – AGENSI









