PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi syarikat subsidiari milik penuhnya, Allo Technology Sdn. Bhd. (Allo) terus memperkasa infrastruktur jaringan telekomunikasi dan digital untuk dinikmati rakyat dengan terkini menghubungkan lima kawasan di Kedah.
Langkah itu membolehkan sebanyak 33,000 kediaman di Sungai Petani, Kulim, Kuala Ketil, Mergong dan Aman Jaya yang sebelum ini tidak mempunyai capaian, menikmati capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, inisiatif Allo tepat pada masanya dengan pembangunan infrastruktur jaringan telekomunikasi dan digital adalah antara agenda utama yang terkandung dalam teras Pelan Pembangunan Kedah 2035.
“Ia menjadi penggalak dalam merancakkan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi di negeri jelapang padi ini.
“Jadi, manfaatkanlah kemudahan ini dengan sebaik-baiknya dalam urusan masing-masing, terutama yang boleh memberi nilai tambah dalam aspek ekonomi serta kesejahteraan kehidupan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Romani Wan Salin yang menyempurnakan Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology peringkat negeri Kedah, semalam.
Kedah adalah negeri ketiga melancarkan projek kemudahan rangkaian telekomunikasi Allo itu selepas Melaka dan Perak.
Sehingga kini, sebanyak 180,000 premis telah dihubungkan dengan rangkaian jalur lebar gentian optik Allo meliputi Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor (Cyberjaya).
TNB melalui Allo memanfaatkan infrastruktur sedia ada miliknya iaitu talian fiber optik sepanjang hampir 25,000 kilometer (km) yang disokong oleh 472 Pencawang Masuk Utama (PMU) di seluruh Semenanjung Malaysia, bagi mewujudkan jaringan rangkaian telekomunikasi di bawah program Jendela.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Roslan Ab. Rahman berkata, inisiatif menyokong Jendela bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat di kawasan yang tidak mempunyai capaian adalah selaras dengan aspirasi TNB sebagai pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.
“Program ini turut menyokong aspirasi serta komitmen TNB dalam mengurangkan perubahan iklim melalui penggunaan teknologi digital secara cekap dan meluas dalam urusan seharian manusia,” katanya.
Roslan menjelaskan, penggunaan teknologi digital dalam urusan seharian bagi menggantikan proses sedia ada yang kurang mesra alam, mempunyai sumbangan positif terhadap aspirasi TNB bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih.
Beliau merujuk kepada pelbagai aktiviti dan transaksi secara dalam talian termasuk urusan perniagaan, perbankan, komuniti dan pendidikan, sekali gus tidak perlu lagi melakukan perjalanan dan sebagainya yang hanya menambah pelepasan karbon.
“Ia adalah sejajar agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) TNB dalam merangka strategi peralihan tenaga menuju kehidupan lestari sepertimana komitmennya dalam Hala Tuju Kelestarian 2050 TNB.
“Malah, pelaksanaan program merapatkan jurang digital ini adalah antara usaha murni TNB dalam memberi perkhidmatan berasaskan teknologi yang menjangkaui perkhidmatan bekalan elektrik,” katanya.
Infrastruktur disediakan Allo menghubungkan 14,745 premis di Kulim, Aman Jaya (9,568), Kuala Ketil (3,695), Mergong (2,574) dan Sungai Petani (2,376).
Premis terbabit boleh mendapatkan pembekal perkhidmatan runcit (RSP) iaitu Maxis, Astro, Digi, Celcom, U Mobile, Freshtel dan Redtone bagi melanggan pakej-pakej internet. – UTUSAN










