Sukuk RM700 juta bantu pembangunan Proton

Sukuk RM700 juta bantu pembangunan Proton

X70 antara kenderaan Proton yang mendapat permintaan tinggi di pasaran. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Berhad (Proton) menerusi anak syarikatnya, Proton Capital Berhad telah berjaya memuktamadkan terbitan bahagian kedua Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM700 juta di bawah program Sukuk Wakalahnya.

Menurut Proton, IMTN terbukti popular dalam kalangan komuniti pelabur dan terlebih langganan hampir empat kali ganda.

Program Sukuk Wakalah Proton terdiri daripada Kertas Komersial Islam (ICP) yang bernilai RM1.0 bilion dalam nilai nominal bersama IMTN yang bernilai RM4.0 bilion dalam nilai nominal. Ia mempunyai had gabungan sehingga RM4.0 bilion nilai nominal  berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

Bahagian kedua untuk IMTN yang bernilai RM700 juta adalah susulan daripada bahagian pertama IMTN bernilai RM500 juta yang telah dilengkapkan pada bulan Disember tahun lepas.

Ketua Pegawai Kewangan Proton, Wang Huaibing berkata, Proton berbesar hati untuk memuktamadkan terbitan dana sukuk peringkat kedua dengan kerjasama CIMB Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad bertindak sebagai  pengurus utama bersama.

“Dana yang diperoleh akan membantu membiayai rancangan pembangunan masa depan syarikat serta keperluan modal operasi.

“Kami berazam untuk melaksanakan strategi pertumbuhan syarikat dan pada tahun-tahun akan datang terdapat beberapa perkembangan menarik dalam rancangan kami.

“Itu termasuk pelancaran produk baharu, menembusi lebih banyak pasaran eksport dan memasuki segmen kenderaan tenaga baharu.

“Dengan jumlah dana sebanyak RM4 bilion, masih terdapat banyak peluang untuk lebih ramai pelabur menyertainya dan saya yakin Proton akan memberi ganjaran kepada pelabur yang menaruh harapan pada kami,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN