PETALING JAYA: Kumpulan SIRIM melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) SIRIM 2022-2026 yang akan menjadi rujukan dan panduan dalam menangani isu berkaitan tadbir urus, integriti dan anti rasuah.
Pada majlis sama, agensi di bawah Kementerian Pedagangan dan Antarabangsa (MITI) itu turut melafazkan ikrar bebas rasuah sebagai usaha Kumpulan SIRIM untuk mencegah perlakuan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam aktiviti perniagaannya.
Seramai 200 warga kerja SIRIM telah hadir secara fizikal bagi melafazkan ikrar bebas rasuah dan selebihnya melafazkan ikrar tersebut secara maya pada majlis berkenaan yang diadakan di Ibu pejabat SIRIM, di sini.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, OACP SIRIM 2022–2026 adalah dokumen dasar antirasuah yang mencerminkan komitmen Kumpulan SIRIM dalam membanteras gejala rasuah dalam semua operasi perniagaan.
“Pelan tindakan pengurusan strategik anti rasuah ini dibangunkan selaras dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) bagi menangani permasalahan dan kelemahan tadbir urus, integriti dan antirasuah dengan bimbingan daripada Institut Integriti Malaysia (IIM).
“OACP SIRIM 2022–2026 akan menjadi panduan kepada semua warga kerja kumpulan dalam melaksanakan usaha yang dirancang dan seterusnya menyumbang kepada tercapainya aspirasi kerajaan dalam memastikan Malaysia dikenali dengan integritinya,” katanya.
Ahmad Sabirin berkata, kumpulan komited untuk sentiasa mempertingkatkan tadbir urus insan secara lebih tegas dalam memperhebatkan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban.
“Ini hanya boleh dilakukan dengan komitmen yang tinggi dan kerjasama daripada semua warga kerja Kumpulan SIRIM di setiap peringkat dan pelanggannya.
“Pelan ini akan menjadi panduan terbaik kepada kumpulan untuk bergerak ke arah organisasi yang lebih teguh dan maju”, ujarnya.
Kumpulan SIRIM telah melaksanakan pelbagai inisiatif sejak 2017 dalam memperkukuhkan struktur pengurusan ke arah memantapkan keutuhan sistem pengurusan dan pentadbiran, meningkatkan tadbir urus terbaik dan mengurangkan karenah birokrasi.
Antara inisiatif berkenaan ialah Ikrar Bebas Rasuah yang dilaksanakan pada 2017; Polisi Tidak Menerima Hadiah (2018); Polisi Whistleblowing (2019) dan melaksanakan Penilaian Risiko Rasuah (2019). – UTUSAN










