PIDM mencatat indeks kesedaran awam 81 peratus

PIDM mencatat indeks kesedaran awam 81 peratus

RAFIZ AZUAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) mencatatkan tahap indeks kesedaran awam sebanyak 81 peratus bagi 2021, pencapaian yang tertinggi sejak penubuhannya pada 2005.

Menurut Laporan Tahunan PIDM 2021,  tahap kesedaran orang awam terus meningkat dari tahun ke tahun, berbanding 62 peratus pada 2019 dan 72 peratus (2020).

Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata, dalam usaha untuk memperkukuhkan sistem perlindungan konsumer kewangan dan rejim resolusi yang efektif, PIDM juga perlu memperkasa konsumer kewangan melalui program kesedaran dan literasi kewangan untuk terus mempertingkatkan keyakinan mereka terhadap sistem kewangan di Malaysia.

“Menerusi aktiviti-aktiviti penglibatan awam dan program literasi kewangan serta kerjasama kami dengan Jaringan Pendidikan Kewangan, kami berhasrat untuk beralih daripada kesedaran asas kepada keyakinan terhadap PIDM dan sistem perlindungan yang kami tadbir, selain usaha membina daya tahan konsumer kewangan melalui pengurangan jurang literasi kewangan,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau, usaha itu merupakan antara tumpuan strategik PIDM selaras dengan teras strategik kedua Pelan Sektor Kewangan 2022 – 2026 untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan.

Laporan Tahunan PIDM 2021 turut mengetengahkan usaha berterusan PIDM dalam memenuhi mandatnya untuk menyediakan perlindungan deposit dan perlindungan manfaat takaful dan insurans kepada konsumer kewangan, serta peranannya sebagai pihak berkuasa resolusi bagi institusi ahlinya.

“Ini termasuk usaha PIDM untuk menambah baik pengalaman pembayaran balik kepada pendeposit,” katanya.

Tambahnya, kerjasama PIDM dengan PayNet melalui platform pembayaran DuitNow membolehkan pembayaran balik deposit jika perlu.

“Sebagai ahli Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata PayNet, PIDM boleh melakukan pembayaran balik pukal dengan segera dan selamat melalui kaedah pembayaran DuitNow, dengan merujuk kepada proksi pendeposit berdasarkan nombor MyKad. Kaedah pembayaran DuitNow merupakan tambahan kepada kaedah pembayaran sedia ada untuk pendeposit yang terkesan,” jelas perbadanan itu.

Menurut PIDM, bagi memastikan kesediaan resolusi, pihaknya akan mengeluarkan Draf Pendedahan Rangka Kerja Perancangan Resolusi yang memperincikan keperluan perancangan resolusi untuk bank ahli, yang dijangka akan dilancarkan pada 2023. Ia susulan program rintis perancangan resolusi yang telah dimuktamadkan pada 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×