PETALING JAYA: Perodua melabur sebanyak RM770 juta untuk pembangunan model Alza serba baharu sejak April 2018.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Alza serba baharu itu dibangunkan bersama di bawah Arkitertur Global Baharu Daihatsu (DNGA) di mana pereka dan jurutera Malaysia bekerja dengan rakan sejawatan mereka di Daihatsu Motor Co., Jepun.
“Perkongsian ini membolehkan Perodua dan para pembekalnya bekerjasama dengan Daihatsu untuk mencapai skala ekonomi dan meningkatkan kos pembangunan model baharu.
“Perodua Alza serba baharu adalah model kedua dibangunkan di bawah DNGA selepas Perodua Ativa yang diperkenalkan pada Mac 2021,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran rasmi Perodua Alza oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur, semalam.
Perodua Alza serba baharu itu menerima lebih 30,000 tempahan sejak pembuat kereta kompak itu membuka tempahannya pada 23 Jun 2022, tertinggi dalam sejarah jenama tersebut.
Zainal Abidin berkata, pencapaian itu disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya para pelanggan ingin memanfaatkan sepenuhnya inisiatif pengecualian cukai jualan yang akan tamat tempoh pada 30 Jun 2022.
Ujarnya, daripada lebih 200,000 tempahan yang diterima buat masa ini, hampir 15 peratus adalah model Perodua Alza serba baharu.
“Faktor lain adalah daya tarikan nilai keseluruhan pakej Perodua Alza serba baharu ini termasuk ciri keselamatan yang dipertingkatkan seperti enam beg udara, ciri Bantuan Keselamatan Termaju, tawaran digital yang dipertingkatkan, ruang yang luas dan keselesaan pemanduan yang lebih baik.
“Hampir 4,000 pelanggan telah menukar tempahan Perodua Alza mereka kepada versi terkini walaupun sebelum pembukaan tempahannya diumumkan secara rasmi.
“Bermula hari ini, beberapa pelanggan kami akan menerima Perodua Alza serba baharu mereka daripada 195 bilik pameran jualan sah di seluruh negara. Selain itu, kami memberi jaminan kepada para pelanggan yang menempah Perodua Alza serba baharu mereka pada atau sebelum 30 Jun, mereka akan menerima kenderaan mereka sebelum tarikh akhir 31 Mac 2023,” katanya.
Perodua Alza serba baharu dijual secara rasmi pada harga RM62,500 untuk varian X, RM68,000 (varian H) dan RM75,500 (varian AV) dengan harga di Malaysia Barat dan tanpa insuran. – UTUSAN










