PETALING JAYA: Bank Simpanan Nasional (BSN) telah mengumumkan tiga orang lagi jutawan bagi Cabutan Istimewa BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) bulan April hingga Jun 2022 dan kini meneruskan pula pencarian jutawan untuk Julai 2022.
Sehingga Jun 2022, BSN SSP telah melahirkan seramai 77 orang jutawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, sektor pekerjaan dan peringkat usia.
Pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP 2022 bagi April adalah seorang Pembantu Kesihatan, Klinik Kesihatan Bentong berusia 41 tahun.
Pemenang bagi Mei pula merupakan pesara Jabatan Penjara berusia 58 tahun, manakala pemenang Jun, pekerja di Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Negara berusia 40 tahun.
Tahun ini, BSN masih mengekalkan Cabutan Istimewa yang menawarkan hadiah RM1 juta untuk setiap bulan.
Ini bermakna sepanjang tahun ini, seramai 12 penyimpan BSN SSP bakal memenangi RM1 juta menjadikan pada penghujung tahun nanti, seramai 83 orang jutawan bakal dilahirkan menerusi kempen BSN SSP.
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, tahun ini, BSN menawarkan hadiah bernilai lebih RM26 juta kepada lebih 16,000 pemenang.
“BSN juga telah menambah baik jumlah kategori cabutan dengan memperkenalkan kategori baharu iaitu Cabutan Jantina yang menawarkan dua orang pemenang lelaki dan wanita memenangi hadiah hebat pada bulan Jun dan Disember 2022 nanti.
“Secara keseluruhannya, sebanyak tujuh kategori ditawarkan berbanding hanya enam kategori pada tahun lalu.
“Ini adalah komitmen berterusan kami untuk terus menggalakkan rakyat Malaysia menyimpan,” katanya dalam kenyataan.
Kempen Cabutan BSN SSP 2022 mengembalikan kereta mewah BMW sebagai hadiah utama bagi Cabutan Bulanan untuk Februari, April, Jun, Ogos, Oktober dan Disember.
Para pemenang Cabutan Bulanan juga turut berpeluang memenangi hadiah pertama RM100,000 dan hadiah kedua, baucar percutian domestik bernilai RM5,000.
Setakat Jun 2022, BSN mempunyai sejumlah 4.49 juta penyimpan dengan jumlah simpanan melebihi RM4.78 bilion.
Pelanggan sedia ada yang ingin menambah simpanan BSN SSP boleh berbuat demikian menerusi kaunter Cawangan BSN, Mesin Teler Automatik (ATM), Mesin Deposit Tunai (CDM), perbankan internet myBSN, Cawangan Bank Bergerak (CBB) atau menerusi saluran Ejen Bank BSN (EB BSN).
Bagi pelanggan baharu pula, pembelian BSN SSP boleh dibuat melalui kaunter Cawangan BSN di seluruh negara.
Senarai para pemenang boleh disemak melalui laman sesawang BSN www.bsn.com.my atau laman Facebook BSN @ BSN Malaysia. – UTUSAN










